PUTRAJAYA tidak ada pilihan kecuali melanjutkan kredit RM1.7 bilion kepada Proton Holdings Bhd untuk menyelamatkan 10,000 pekerjaan, kata perdana menteri hari ini.
Najib Razak berkata jika Proton ditutup, ekosistem di sekeliling syarikat pembuat kereta nasional, yang termasuk kira-kira 200,000 pekerjaan itu akan turut terjejas.
“Ya, Proton dalam kesukaran dan kerajaan terpanggil untuk membantu, yang akhirnya diberikan pinjaman mudah yang kami lanjutkan hingga 2016.
“Kerajaan bantu kerana kami peduli dengan kebajikan ratusan ribu orang yang bekerja dengan Proton,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara Zhejiang Geely Holding Group (Geely) dan DRB-Hicom.
Bulan lalu, Geely bersetuju membeli syarikat pembuat kereta negara yang sedang tenat itu daripada DRB-Hicom.
Geely, yang mengawal syarikat berpangkalan di Hong Kong, Geely Automobile dan pembuat kereta Sweden, Volvo, memperoleh 49.9% pegangan saham dalam Proton.
Dilaporkan kerajaan melanjutkan baris kredit sejumlah RM1.7 bilion tambahan kepada RM1.2 bilion pinjaman mudah tahun lalu, untuk menyokong kos operasi yang bertambah dan jualan kereta yang suram.
Najib berkata ada juga yang bertanya mengapa Proton dibantu sedangkan ia entiti swasta.
“Realitinya hampir semua orang tahu, model perniagaannya tidak mapan bagi tempoh jangka panjang.
“Sudah terlalu lama, impian tidak realistik dan kurangnya pemahaman komersial oleh bekas ketuanya terpaksa ditanggung.
“Dia masih lebih suka Proton jadi 100% milik Malaysia dan kerugian ratusan juta ringgit setahun,” kata Najib, secara tidak langsung merujuk pada Dr Mahathir Mohamad yang memulakan Proton pada 1983 ketika tahun kedua menjadi perdana menteri.
“Tetapi itu duit rakyat dan tidak bertanggungjawab jika kami teruskan model perniagaan yang tidak akan berjaya,” katanya.
Najib berkata ada yang terperangkap dalam cara pemikiran lama, rasa ketakutan tidak berasas mengenai pelaburan asing yang akan menyebabkan hilangnya kedaulatan negara.
Beliau yakin kerjasama baharu antara DRB-Hicom dan Geely akan menyaksikan Proton menjadi salah satu pembuat kereta terulung di Asia Tenggara.
“Tetapi kami menetapkan syarat Proton perlu mencari rakan kerjasama strategik yang boleh mencapai skala ekonomi itu,” katanya.
Geely hari ini menandatangani perjanjian muktamad untuk memperoleh 49.9% pegangan dalam Proton. – 23 Jun, 2017.
Komen