Pemilihan Umno: 2 jawatan tertinggi sengit, yang lain boleh dijangka


Radzi Razak

Berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat 4.45 petang, bagi jawatan presiden, Ahmad Zahid Hamidi menang di 29 bahagian manakala Khairy Jamaluddin di 23 bahagian dan Tengku Razaleigh Hamzah di 10 bahagian. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 Jun, 2018.

PERSAINGAN dua jawatan tertinggi Umno sengit dengan perwakilan terbahagi antara mengundi pilihan sendiri atau pilihan yang ditentukan oleh ketua bahagian, kata petugas calon bertanding.

Bagi jawatan naib presiden, pilihan untuk mengisi tiga kerusi itu ternampak jelas, kata mereka.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat 4.45 petang, bagi jawatan presiden, Ahmad Zahid Hamidi menang di 29 bahagian manakala Khairy Jamaluddin di 23 bahagian dan Tengku Razaleigh Hamzah di 10 bahagian.

Bagi jawatan timbalan presiden, Mohamad Hassan dilaporkan menang di 10 bahagian sementara Annuar Musa di 7 bahagian.

Keputusan tidak rasmi itu dikeluarkan melalui Twitter dipercayai dikendalikan Unit Media Umno.

Sekrektariat pemilihan dijangka mengadakan sidang media seawal 6 petang untuk mengumumkan keputusan awal.

Maklumat daripada sekretariat juga menyatakan tiada paparan disediakan utk keputusan pemilihan hari ini di auditorium Menara Dato’ Onn seperti pemilihan sayap minggu lalu dan keputusan penuh akan diumumkan sama ada melalui sidang media.

Sementara itu beberapa kertas cai, atau senarai calon untuk diundi yang dilihat The Malaysia Insight daripada bahagian di seluruh negara,menunjukkan nama-nama yang sama bagi pemilihan naib presiden dan Majlis Tertinggi parti.

Tiga nama calon naib presiden yang kerap muncul ialah bekas ahli Parlimen Titiwangsa Johari Abdul Ghani, bekas menteri besar Johor, Khaled Nordin serta bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah dan Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob.

Begitu juga dengan Majlis Tertinggi, antara nama yang kerap muncul di kertas cai ialah bekas ahli Parlimen Muar Razali Ibrahim, bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Mustapa Mohamed dan bekas menteri besar Perak Zambry Abd Kadir.

Seorang petugas Umno bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight kertas cai hanyalah merupakan panduan kepada perwakilan untuk mengundi dan tidak semestinya wajib diikuti.

Bagaimanapun beliau menyatakan terdapat pihak yang mengambil kesempatan mengedarkan kepada perwakilan yang “malas” dan ada juga mereka yang mengeluarkan beberapa cai berbeza sesuka hati.

“Cai ini bukan perkara salah sebab kalau tengok calon MT pun 106 setiap orang, bukan perwakilan kenal semua. Yang bagus ialah mereka yang buat cai sendiri sebagai senarai untuk undi siapa yang mereka mahu.

“Semua perwakilan bawa cai sendiri. Ketua bahagian ada cai, Pemuda ada cai, calon MT ada cai,” kata beliau yang enggan dinamakan kepada The Malaysian Insight.

Seorang perwakilan sebuah bahagian di Kuala Lumpur yang hanya mahu dikenali sebagai Zul bagaimanapun berang dengan beberapa pihak yang didakwanya cuba mengedarkan senarai calon pilihan atas arahan pihak tertentu.

Katanya, ia menghalang hak demokrasi ahli akar umbi untuk mengundi sendiri calon mereka.

“Kita mahu pilih pemimpin yang akar umbi suka, bukan hanya ikut selera pemimpin lama yang lain,” kata beliau tanpa mahu menamakan siapa pemimpin tersebut.

Seorang ahli Umno yang menggunakan nama Wahida Adleen turut meluahkan kekecewaan di laman media sosial twitter kerana isu cai β€“ 30 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen