Bekas menteri akui Umno kalah kerana isu integriti, tak telus


Nabihah Hamid

BEKAS menteri Umno, Johari Abdul Ghani menyalahkan sikap pemimpin parti yang tidak telus dan takut berdepan pengundi sehingga menyebabkan parti itu hilang kuasa.

Hinggakan, pemimpin parti menganggap rakyat akan melihat segala tindak-tanduk mereka sebagai tindakan betul, katanya.

“Kita anggap apa sahaja kita buat rakyat akan melihatnya betul, walaupun benda itu tak betul. Kita tidak telus, tidak terbuka dan takut berdepan rakyat (untuk menjelaskan) isu yang kita rasa perlu dikemukakan dengan rakyat,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Johari yang bertanding jawatan naib presiden berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai agenda perubahan dan muhasabah yang melatari pemilihan parti hari ini.

Pengakuannya itu juga muncul susulan kenyataan bekas presiden Najib Razak hari ini yang turut menyalahkan pemimpin di setiap lapisan Umno atas kekalahan parti dalam pilihan raya umum 9 Mei.

Johari juga berkata, Umno ditolak rakyat kerana parti itu dilihat tidak lagi mempunyai integriti dan tidak boleh dipercayai.

“Mereka lihat pemimpin tak kisah, apa dia buat salah ke betul. Bagi dia rakyat akan terima, sebab itu pengundi memberi hukuman,” katanya yang turut kehilangan kerusi Parlimen Titiwangsa.

Kerusi tersebut dimenangi muka baharu, Ketua Wanita Bersatu Rina Harun yang kini dilantik jadi menteri pembangunan luar bandar.

Johari juga kesal kerana pemimpin Umno mengetepikan suara rakyat yang membangkitkan soal integriti.

“Bila (rakyat) suarakan (soal integriti) ini kita mengambil mudah, sebab itu rakyat menghukum kita,” katanya lagi. 

Enam lagi calon yang merebut jawatan naib presiden adalah Ismail Sabri Yaakob, Mohamed Khaled Nordin, Sheikh Razali Sheikh Hamad, Mahadzir Khalid, Tajuddin Abdul Rahman and Ahmad Said. – 30 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen