Kelantan siasat dakwaan lelaki kahwin kanak-kanak 11 tahun


Melati A. Jalil

Aktivis masyarakat Syed Azmi Alhabshi yang membangkitkan perkara itu menerusi Facebook miliknya berkata Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail tahu mengenai perkara itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2018.

PIHAK berkuasa Kelantan sedang menyiasat bagi mengesahkan maklumat yang tular di media sosial mengenai perkahwinan antara kanak-kanak berusia 11 tahun dan lelaki berusia 40 tahun.

Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan dan polis sedang mengesan kanak-kanak tersebut yang dikatakan tinggal di Gua Musang.

Aktivis masyarakat Syed Azmi Alhabshi yang membangkitkan perkara itu menerusi Facebook miliknya berkata Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail tahu mengenai perkara itu.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang dalam perjalanan untuk bertemu kanak-kanak tersebut, yang tinggal di Gua Musang.

“Pejabat timbalan perdana menteri menghubungi saya dan saya telah memberikan semua maklumat berkaitan kepada mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Berita mengenai perkahwinan tersebut mengundang kecaman badan antarabangsa, Unicef yang menyifatkan ia sebagai mengejutkan dan tidak boleh diterima.

“Ia melanggar hak kanak-kanak perempuan itu. Pembaharuan undang-undang yang menetapkan umur 18 tahun sebagai umur sah berkahwin tanpa sebarang pengecualian harus diberi keutamaan oleh kerajaan baharu,” kata wakil Unicef Malaysia, Marianne Clark-Hattingh.

Lelaki tersebut dipercayai mengahwini kanak-kanak berumur 11 tahun itu untuk dijadikan isteri ketiganya.

Kes itu pertama kali dibangkitkan salah seorang isteri lelaki tersebut yang menghantar ucapan tahniah kepada suaminya di media sosial, yang kemudiannya menjadi tular.

Syed Azmi, yang berjaya menghubungi isteri kedua lelaki berkenaan, berkata beliau sudah menasihati wanita itu untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Selain umurnya yang baru 11 tahun, saya juga bimbang dengan keadaan kedua-dua keluarga. Kerana ketika saya menghubungi salah seorang daripada isterinya, dia menangis meminta pertolongan.

“Pada mulanya, si suami tidak mengaku tetapi apabila ditunjukkan gambar itu, dia lari ke rumah ibunya dan sekat semua komunikasi dengan isteri-isterinya.” – 30 Jun, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen