Umno yang dulu sakit akan kembali bangkit, kata Dira Abu Zahar


Nabihah Hamid

Bekas exco Puteri Umno Dira Abu Zahar berkata Umno perlu mengubah syarat dalam pemilihan yang menyukarkan muka-muka baharu maju ke peringkat lebih tinggi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 Jun, 2018.

BEKAS exco Puteri Umno Dira Abu Zahar percaya ahli Umno akan bangkit untuk melakukan perubahan pada pemilihan hari ini dengan mengangkat muka-muka baharu yang akan menggerakkan perubahan dalam parti.

Calon Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata untuk parti itu wajah segar bakal memberikan nafas baharu sekaligus menjadikan parti itu terus relevan diterima anak muda.

“Selepas ini, tiada orang lagi akan kata ‘cara aku betul’ kerana telah ada (dalam politik) 25 tahun’. Saya rasa ini akan menjadikan suara anak muda didengari juga.

“Semua orang tahu kita kena berubah. Sebelum ini semua orang in denial (menafikan). Kita banyak menafikan. Kita sakit tapi tak mengaku sakit,” katanya dalam satu temubual bersama The Malaysian Insight.

Bagi Dira, Umno perlu mengubah syarat dalam pemilihan yang menyukarkan muka-muka baharu maju ke peringkat lebih tinggi – syarat yang juga menyebabkan beliau tidak dapat bertanding jawatan Puteri Umno Malaysia.

Pemilihan Umno kali ini mempertandingkan semua jawatan termasuk presiden, timbalan, naib-naib dan ketua sayap.

Bagaimanapun, syarat bertanding dalam kepimpinan sayap-sayap, calon perlu sudah menjadi ahli sekurang-kurangnya tiga tahun dan mempunyai jawatan di peringkat bahagian.

Tambah Dira meskipun tidak dapat bertanding dalam jawatan nasional Puteri Umno, beliau komited mahu memperkasakan peranan wanita melalui peringkat Bahagian Umno.

“Saya mahu menjadikan wanita itu bukan sahaja mempersona, tetapi lebih berkeyakinan dalam segala hal dan maju dalam pelbagai sektor dan lapangan. Ia harus juga dimulakan dari peringkat bahagian,” katanya yang menang tanpa bertanding ketua Puteri Bahagian Jasin.

“Dengan itu, walaupun tidak bertanding di peringkat nasional, namun saya percaya platform untuk terus memperkasakan wanita ini boleh dilakukan dari mana-mana platform,” katanya lagi.

Pelakon drama televisyen ini juga berkata, kedua-dua sayap Wanita dan Puteri bakal menyerlah sebagai pembangkang dan memastikan kerajaan Pakatan Harapan telus.

Untuk itu, beliau berharap Umno yang akan diubah nanti akan lebih memberi keutamaan kepada ahli wanita yang selama ini terpinggir dalam parti.

“Persatuan ibu ini hanya menyokong. Tapi sekarang kita harus ubah persepsi selepas 72 tahun. Ini juga peluang bagi wanita untuk lantang bersuara dalam pandangan,” katanya lagi.

Bagaimanapun katanya, gandingan bersama pemimpin lama masih diperlukan untuk menerajui Umno baharu.

“Kalau kita mahukan sesuatu yang solid dan baru, tanpa melupakan yang lama. Senior yang ada sama ada jawatan atau tidak. Kita masih perlu nasihat mereka, strategi.

“Biar yang muda pandu kereta, yang senior duduk di sebelah jadi jurupandu. Bimbing kami, mana satu jalan yang patut kami ambil,” katanya lagi. – 30 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen