KHAIRY Jamaluddin Abu Bakar lebih menonjol di kalangan tiga calon Umno yang bertanding untuk jawatan tertinggi parti dalam perdebatan malam tadi, kata penganalisis.
Bagaimanapun, mereka berasa perwakilan parti masih akan memilih presiden sementara Umno, Ahmad Zahid Hamidi kerana beliau popular di kalangan akar umbi parti.
Ibrahim Suffian daripada Merdeka Centre berkata, Khairy sangat disukai oleh orang-orang di luar Umno tetapi bukan di dalam parti.
“Saya rasa dari segi populariti umum, Khairy mungkin berada di depan ahli Umno dan penyokong biasa.
“Bagaimanapun, memandangkan proses pengundian melibatkan perwakilan yang dipilih dari cawangan Umno di setiap bahagian, ada kemungkinan kebanyakan individu ini penyokong daripada kem tertentu,” katanya kepada The Malaysian Insight malam tadi selepas perdebatan yang berlangsung pada Astro Awani.
Ibrahim menambah Khairy dan Tengku Razaleigh Tengku Hamzah menjauhkan diri daripada bekas presiden Umno Najib Razak tetapi langkah itu mungkin memakan diri kerana bekas perdana menteri itu masih dihormati dalam parti itu.
“Khairy dan Tengku Razaleigh mendapat sokongan popular dengan kritikan awal mereka terhadap Najib.
“Tetapi, mesti dikatakan sejumlah besar perwakilan itu masih terdiri daripada penyokong Najib,” katanya.
Penganalisis politik Hisomuddin Bakar berkata Khairy kelihatan paling yakin dengan idea-idea bertemakan “populis” itu, sementara Zahid memberi tumpuan kepada “kesinambungan” kepimpinan parti dan Tengku Razaleigh “berpengalaman”.
Bagaimanapun, pengarah eksekutif Ilham Centre itu berkata perwakilan Umno sudah membuat fikiran sebelum perdebatan malam tadi.
“Perdebatan itu akan mempunyai kesan minima kerana budaya ‘warlord’ dominan. Sekiranya perwakilan Umno bertekad membuat perubahan dalam parti, perdebatan ini juga tidak akan membawa banyak perbezaan,” kata Hisomuddin kepada The Malaysian Insight.
Azizuddin Sani dari Universiti Utara Malaysia memuji Khairy kerana mengakui kesilapan Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan mengenai skandal seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Khairy mengakui masalah Umno tetapi Zahid tidak pernah mengaku. Khairy adalah yang paling meyakinkan dan Ku Li paling ikhlas,” katanya merujuk kepada Tengku Razaleigh.
Tetapi, penganalisis politik juga bersetuju Zahid mempunyai peluang terbaik untuk mengambil alih jawatan presiden kerana sokongan akar umbinya.
“Sekiranya Umno benar-benar mahu berubah, Khairy adalah calonnya. Tetapi, seperti yang dilakukan oleh Umno pada masa lalu, perwakilan parti mempunyai mentaliti yang kepimpinan perlu diteruskan. Jadi, saya fikir Zahid mempunyai peluang terbaik,” kata Azizuddin.
Kesemua tiga calon presiden mengambil pendekatan berbeza mdalam perbahasan yang disiarkan di Awani malam tadi.
Sementara Khairy Jamaluddin berusia 42 tahun berterus-terang dan jujur mengakui kesilapannya, Zahid yang berusia 65 tahun cuba mengalih perhatian dengan menyalahkan pendekatan “bukan konvensional” Pakatan Harapan pada PRU14.
Satu kaji selidik yang dijalankan antara 22 hingga 26 Jun oleh Oppotus Research Group, melibatkan 1,035 orang Melayu, mendapati Khairy adalah calon pilihan. – 30 Jun, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan