RCI akan bongkar unsur jenayah dalam kerugian forex


Sheridan Mahavera

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz berkata Suruhanjaya Siasatan Diraja itu akan dapat menentukan jumlah kerugian sebenar dalam siri perdagangan tukaran asing yang berlaku semasa pentadbiran Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2017.

SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) terbaru yang ditubuhkan Putrajaya akan menentukan sama ada terdapat unsur jenayah berhubung kerugian dialami negara dalam urus niaga mata wang asing (forex) Bank Negara Malaysia (BNM) pada akhir 1980-an.

Menteri Nazri Aziz berkata RCI juga akan dapat menentukan jumlah kerugian sebenar dalam siri perdagangan tukaran asing yang berlaku semasa pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.

“RCI akan membantu kami menentukan sama ada terdapat sebarang asas untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat dalam transaksi ini, jika ada unsur jenayah yang terlibat,” kata Nazri yang merupakan menteri pelancongan dan kebudayaan, memberitahu The Malaysian Insight.

RCI diumumkan oleh pentadbiran Najib semalam selepas menerima laporan daripada pasukan petugas yang ditubuhkan untuk menyiasat spekulasi mata wang BNM di antara 1989 hingga 1992.

Pasukan petugas, yang diketuai bekas ketua setiausaha kerajaan, Mohd Sidek Hassan, tidak dapat menentukan jumlah sebenar kerugian BNM kerana ia tidak mempunyai kuasa untuk memanggil saksi, katanya.

“Pasukan petugas hanya dapat mengambil kenyataan daripada orang yang bersedia memberi kesaksian.

“Angka yang didapati pasukan petugas bervariasi di antara ‘x’, ‘x plus one’, ‘x plus two’. Jadi kita perlukan RCI untuk menentukan berapa banyak sebenarnya yang rugi,” kata Nazri, yang juga seorang peguam bertauliah.

Laporan The Malaysian Insight mengenai skandal kewangan itu meletakkan jumlah RM9 bilion pada 1992. Manakala pihak lain mendakwa BNM kehilangan sebanyak RM16 bilion.

RCI, berkemungkinan akan diadakan selepas Hari Raya, yang diberi kuasa memanggil mana-mana saksi untuk memberi keterangan termasuk bekas menteri, pegawai BNM dan kakitangan awam kanan.

Ketika Putrajaya mengumumkan RCI forex, para pengkritiknya menuntut agar pentadbiran Najib turut menubuhkan penyiasatan serupa terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dilanda skandal kewangan dan tuduhan penipuan.

Nazri berkata tidak seperti kerugian forex, pihak berkuasa lain seperti SPRM, BNM dan Jawatankuasa Kira-Kira Negara sudah menyiasat 1MDB.

“1MDB adalah perniagaan yang kerugian wang. Ini berbeza dengan kerugian forex. Siasatan kami juga menunjukkan tiada unsur jenayah terlibat dalam 1MDB. “

Pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB mencetuskan siri penyiasatan di Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Hong Kong, United Kingdom dan Luxembourg.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) baru-baru ini mendedahkan saman pelucuthakan aset terbarunya yang bertujuan mendapatkan semula AS$540 juta yang didakwa dicuri daripada 1MDB.

Dianggarkan sehingga AS$4.5 bilion disalahgunakan daripada 1MDB, dibersihakan melalui sistem kewangan AS dan digunakan untuk membeli hartanah mewah, kenderaan, karya seni mahal dan perhiasan.

Sebagai respons, Nazri berkata saman DoJ adalah sivil dan tidak bersifat jenayah.

“Ini saman sivil kerana mereka tidak mempunyai bukti mencukupi menuduh orang melakukan kesalahan jenayah. Itu sebabnya mereka mengambil tindakan sivil,” katanya.

“Sekiranya terdapat bukti jenayah, mereka akan dikenakan tindakan di mahkamah.” – 22 Jun, 2017. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen