PARLIMEN yang akan bersidang buat kali ke-14 akan memberi tumpuan kepada perubahan utama yang dijanjikan Pakatan Harapan (PH), selain daripada mengetengahkan isu-isu ekonomi, kata Fahmi Fadzil.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, salah satu daripada keutamaan kerajaan baharu ialah melakukan pembersihan menyeluruh, menjalankan audit forensik mengenai bagaimana wang dibelanjakan oleh kerajaan pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
“Pentadbiran dan pemimpin kerajaan terdahulu sembunyi segala-galanya.
“Sekarang, apabila kita dah mula masuk ke dalam kementerian, satu persatu rahsia terbongkar.
“Saya fikir, itu akan menjadi tugas utama disebabkan rasuah dan amalan pentadbiran sebelum ini,” beliau memberitahu pemberita selepas forum “Cost of Living in Malaysia: Asking the right policy questions” di Kuala Lumpur hari ini.
Fahmi diminta mengulas mengenai kritikan bahawa kerajaan PH tidak mengambil tindakan yang cukup dalam menangani masalah kos sara hidup.
Beliau berkata, masalah kos sara hidup tidak hanya dapat diselesaikan melalui kenaikan gaji atau mengenal pasti gaji yang sesuai pada ketika ini.
“Ramai orang berharap kita akan dapat menangani masalah berkaitan ekonomi.
“Saya fikir kita perlu juga melihat bagaimana teknologi dan Internet mengganggu idea kerja itu sendiri.
“Dan saya berharap realiti ini benar-benar disedari oleh ahli-ahli Parlimen apabila kita berbincang untuk merumus dan menyatukan dasar-dasar yang akan mempunyai kesan jangka pendek, sederhana dan panjang serta impak ekonomi yang kita sedang usahakan untuk masa depan,” kata Fahmi.
Sidang Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Ke-14 akan bermula pada 16 Julai ini selama 20 hari. – 29 Jun, 2018.
Komen