JABATAN Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dan polis Ampang sedang menyiasat lapan pegawai polis trafik atas kesalahan peras ugut selepas serbuan malam tadi menemui sejumlah wang disimpan di pejabat mereka.
Pasukan JIPS melakukan pemeriksaan di pejabat polis trafik Ampang pada 11.50 malam susulan aduan orang awam yang mendakwa salah seorang suspek meminta wang daripada tukang masak warga Vietnam beberapa jam sebelum itu.
Difahamkan jumlah yang diminta ialah RM1,500 tetapi rakan mangsa hanya dapat membayar RM500.
Pengadu membuat aduan peras ugut kepada JIPS walaupun sudah membuat bayaran itu.
Salah seorang suspek dikatakan meminta wang itu sebagai pertukaran pembebasan seorang warga Vietnam yang ditahan reman bagi membantu siasatan.
Pasukan JIPS dalam pemeriksaannya menemui wang tunai RM18,000 di bawah meja salah seorang suspek.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Hamzah Alias mengesahkan penahanan lapan suspek dengan salah seorangnya ditahan reman.
“Hanya seorang suspek yang disebut secara langsung. Jadi kami terpaksa reman dia dua hari untuk siasatan kes peras ugut. Walaupun yang lain tidak direman tetapi mereka tetap tertakluk kepada siasatan polis Ampang dan JIPS,” kata Hamzah.
Pengarah Pesuruhjaya JIPS Abdul Ghafar Rajab berkata jabatan itu akan memantau kes berkenaan dan pada masa sama menjalankan inkuiri dalaman terhadap semua suspek.
Ghafar berkata JIPS melakukan banyak tangkapan terhadap pegawai polis.
“Bukan hanya peras ugut, ada yang ditahan kerana penyalahgunaan dadah,” katanya.
JIPS ialah jabatan yang ditubuhkan dengan kuasa bertindak terhadap anggota yang didapati cuai ketika bertugas.
Bulan lalu, SPRM menahan pegawai kanan di Melaka kerana didakwa terbabit dalam mengambil wang perlindungan daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di negeri itu. – 22 Jun, 2017.
Komen