Umno mahu pemimpin dipercayai rakyat dan wawasan pulih parti, kata kajian


Radzi Razak

Pemilihan jawatan presiden Umno, yang pertama sejak 1987, ditandingi lima calon dengan bekas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi bersaing hebat dengan bekas ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Jun, 2018.

UMNO perlukan pemimpin yang dipercayai rakyat Malaysia serta ada wawasan untuk memulihkan parti, kata ahli dan perwakilan Umno dalam satu kaji selidik Merdeka Center menjelang pemilihan parti itu esok.

Dalam kajian itu, 48% responden mahukan kepimpinanan tertinggi Umno dibarisi oleh pemimpin yang boleh mendapatkan kepercayaan seluruh rakyat Malaysia manakala 45% memilih pemimpin yang mempunyai wawasan untuk mengukuhkan semula kedudukan Umno.

Lebih 700 responden kajian yang terdiri sebahagian besar ahli dan perwakilan Umno diminta memilih dua ciri yang dianggap paling penting untuk memimpin Umno masa ini.

Dalam spektrum yang lain, hanya 1% memilih pemimpin yang jujur dan amanah dan 15% memilih ciri penting kepimpinan ialah mendapat kepercayaan daripada perwakilan.

29% turut menyatakan antara ciri penting kepimpinan Umno ialah kebolehan menyatupadukan semua peringkat pemimpin dalam Umno dan 27% lagi percaya mereka boleh mendapatkan kepercayaan pengundi Melayu.

Pemilihan jawatan presiden Umno, yang pertama sejak 1987, ditandingi lima calon dengan bekas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi bersaing hebat dengan bekas ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Dua lagi calon ialah Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Mohamed Iqbal Maricair dan Mohd Yusof Musa @ Jamaludin daripada Umno Bahagian Iskandar Puteri.

Penyokong Zahid dilihat sebagai mereka yang masih menyokong status quo parti sementara penyokong Tengku Razaleigh dan Khairy dilihat sebagai mereka yang mahukan pembaruan dan reformasi besar terhadap parti itu.

Kajian Merdeka Center ini melibatkan 723 responden terdiri daripada  perwakilan dan ahli biasa Umno dari 191 bahagian di seluruh Malaysia. Temu bual melalui telefon itu dijalankan minggu ini, antara Isnin hingga semalam.

Kajian itu meliputi 69% ahli biasa, 19% perwakilan dan 8% bukan ahli atau penyokong Umno.

Daripada 723 responden itu, 75% lelaki dan 25% wanita, berumur antara 21 hingga lebih 60 tahun. Majoriti responden atau 44% berumur di bawah umur 40 tahun.

Sementara itu, rumusan kajian lapangan yang dijalankan selama lapan hari oleh Ilham Center dengan jumlah responden 581 perwakilan Umno menunjukkan Ahmad Zahid kini mendapat sokongan 51% diikuti Tengku Razaleigh di tahap 35 peratus dan Khairy mendapat enam peratus. 8 peratus bahagian lagi dilihat masih samar sokongannya. β€“ 29 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen