SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing (forex) Bank Negara Malaysia (BNM) yang ditubuhkan Putrajaya semalam akan memberikan kesan kepada Pakatan Harapan (PH) jika Dr Mahathir Mohamad didapati bersalah, kata Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad.
Ahli Parlimen Shah Alam itu bagaimanapun berkata penubuhan RCI ini bermotifkan politik kerana hanya ditubuhkan selepas 23 tahun kes itu berlalu.
“Jika Dr Mahathir didapati bersalah, sudah tentu akan berikan kesan kepada PH,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
“Tetapi RCI ini bermotifkan politik kerana Dr Mahathir kini bersama pembangkang. Sepatutnya yang lebih penting sekarang ialah RCI terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).”
Semalam, Putrajaya mengumumkan penubuhan RCI untuk menyiasat kerugian forex BNM 23 tahun lalu ketika Dr Mahathir masih lagi perdana menteri Malaysia.
Sebelum itu pada sidang media sama, ketua pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail mendesak Putrajaya menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat mengenai skandal 1MDB.
“Penubuhan RCI bagi menyiasat dakwaan DoJ mengenai 1MDB langkah penting untuk menunjukkan penubuhan RCI bagi menyiasat skandal forex BNM bukan tindakan politik yang selektif serta usaha terdesak kerajaan mengalih tumpuan terhadap dakwaan terbaru DoJ mengenai skandal 1MDB.
“Seluruh negara dan dunia digemparkan oleh pemfailan terbaru DoJ pada 15 Jun 2017. Menurut dokumen mahkamah, jumlah dana 1MDB yang didakwa diselewengkan mencecah hampir AS$4.47 bilion (RM19.15 bilion),” katanya.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut mendesak siasatan terhadap 1MDB dibuka semula.
“Maka saya menggesa institusi berwajib Pejabat Peguam Negara, ketua polis negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dan Bank Negara untuk membuka kembali kertas siasatan mengenai skandal ini,” katanya.
Beliau berkata satu mesyuarat tergempar untuk merencana langkah yang perlu diambil selepas dakwaan terbaru DoJ dan menangani kemelut melanda negara akibat skandal 1MDB.
“Saya selaku ketua pembangkang Malaysia akan menjemput ketua parti pembangkang dan ketua whip ke satu mesyuarat tergempar.
“Mesyuarat ini akan diadakan di Pejabat Ketua Pembangkang di bangunan Parlimen pada 28 Jun, 2017,” katanya. – 22 Jun, 2017.
Komen