
MENJELANG pemilihan Umno peringkat pusat esok, calon presidennya Khairy Jamaluddin mengingatkan ahli parti bahawa mereka tidak perlu merasa terhutang budi dengan sesiapa sehingga terpaksa memberi sokongan kepada pihak tertentu.
Ini kerana, katanya, tidak ada sesiapa dalam Umno yang mempunyai kedudukan untuk menabur janji dan mengugut dengan tujuan untuk mendapatkan sokongan.
Justeru, katanya, tidak ada keperluan bagi perwakilan untuk merasa terhutang budi kepada mana-mana calon, kata bekas ketua Pemuda Umno itu.
“Kita tidak dalam kerajaan lagi. Pada masa lalu kita rasa sokongan kita terhadap calon-calon tertentu akan memberikan kita jawatan dalam parti, kerajaan atau sesetengah GLC (syarikat berkaitan kerajaan).
“Kini kita tidak punya apa-apa. Jangan fikir oleh kerana anda tidak undi calon-calon tertentu, rezeki ditarik atau anda kehilangan jawatan.
“Jadi jangan merasa terhutang budi kepada sesiapa. Tiada apa yang tinggal kecuali komitmen kita untuk melihat Umno kembali berkuasa kelak,” katanya di hadapan ahli Umno Pulau Pinang pada satu majlis di Seberang Jaya malam semalam.
Khairy akan berdepan tiga pencabar dalam persaingan merebut jawatan presiden, termasuk pemangku presiden Ahmad Zahid Hamidi dan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.
Ahli Parlimen Rembau, yang merupakan bekas menteri belia dan sukan, berkata beliau sendiri tidak boleh menabur sebarang janji.
“Kami bertiga hanya ahli Parlimen biasa sekarang. Hari ini, satu-satunya yang boleh menentukan masa depan parti adalah para perwakilan dan bukan ahli parti biasa,” katanya dalam ucapan.
Umno dan Barisan Nasional mengalami kekalahan paling teruk pada PRU14, hilang kuasa di peringkat Persekutuan kepada Pakatan Harapan. Gabungan itu hanya memenangi 79 kerusi Parlimen, namun kini hanya berbaki 55 kerusi selepas parti komponen Sabah dan Sarawak menarik diri, serta dua ahli Parlimen Umno Perak keluar parti.
Umno, parti utama BN yang memenangi kerusi terbanyak dalam gabungan itu kini mempunyai 52 kerusi selepas dua pemimpin Perak itu keluar Umno.
Khairy berkata Umno dibebani skandal yang besar dan hilang sokongan orang muda Melayu, anggota polis, tentera, Felda, serta pengundi luar bandar kepada Pakatan Harapan dan PAS pada PRU14.
Semasa sesi soal jawab, Khairy berkata orang Melayu akan kembali menyokong Umno jika parti itu bersih.
Beliau berkata Umno harus dilihat melakukan pembaharuan kerana dibimbangi akan memberi tanggapan yang negatif jika terus mengamalkan sikap seperti sebelum ini.
“Sokongan orang Melayu hanya akan kembali kepada Umno jika parti itu membuktikan bahawa ia boleh dipercayai, bersih, berprinsip dan berintegriti. Biar saya bantu membersihkan Umno dan menyatukan sokongan Umno.” – 29 Jun, 2018.
Komen