
CALON presiden Umno Khairy Jamaluddin berkata beliau akan menjadi presiden aprti yang boleh dikritik, bukan “dewa politik” yang kebal.
Katanya, beliau mahu menjadi pemimpin yang boleh ditegur dan dikritik ahli parti.
“Sekiranya saya menjadi presiden, kamu boleh nyatakan pandangan, kritik saya. Saya tidak mahu ada kuasa penuh,” katanya kepada ahli Umno di Seberang Jaya malam ini.
Menurut Khairy, Umno berdepan pilihan raya yang paling teruk “bukan sangat kerana satu orang”, tetapi parti memiliki persekitaran yang mana ahlinya tidak boleh menentang pemimpin atasan.
“Kita sudah menuding jari kepada orang itu tetapi kita juga perlu menanggung beban tanggungjawab.
“Dalam Umno kita ada sistem yang tidak terbuka. Akar umbi tidak boleh bercakap tentang presiden.
“Kita lindungi presiden, jadikan dia kebal, ‘dewa politik’ yang tiada siapa brani kritik,” kata bekas ketua Pemuda parti itu.
“Kami menyesalinya. Jadi saya mahu menjadi presiden yang boleh dikritik, bukan dewa politik Umno.”
Khairy tidak menamakan pemimpin terbabit namun difahamkan ia merujuk kepada bekas presiden Najib Razak, yang mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad yang memberi kesan kepada Umno dan Barisan Nasional.
Ketika sesi soal jawab selepas berucap, beliau mengakui kepimpinan adalah salah apabila gagal mempersoal dan mengkritik Najib yang juga bekas perdana menteri berhubung isu 1MDB.
Menurutnya, mereka bercakap mengenai isu itu, namun “terus perlahan” selepas Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal dipecat daripada kabinet dan kemudian daripada Umno.
Muhyiddin sebelum ini merupakan timbalan presiden Umno dan timbalan perdana menteri. Shafie merupakan naib presiden Umno dan menteri pembangunan luar bandar.
Khairy mengakui mereka telah melakukan kesilapan, menambah bahawa beliau memberitahu kepada ketua Pemuda Umno yang baharu dilantik Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa beliau sedia dikritik sekiranya menjadi presiden dan melakukan kesilapan.
“Beliau boleh tegur saya. Saya beritahunya beliau tidak perlu jaga saya. Beliau perlu jaga parti.”
Bekas menteri belia dan suka itu juga berkata beliau akan berkongsi kuasa presiden parti dengan akar umbi
Katanya pemilihan parti tidak boleh ditangguhkan dan perlu diadakan setiap tiga tahun tanpa gagal bagi membolehkan pemimpin parti bersaing bagi semua jawatan parti.
Menurutnya, beliau tidak akan menunggu senario di mana presiden memegang jawatan itu “sepanjang hayat dan tidak mendengar suara akar umbi parti”.
Umno di bawahnya juga kata Khairy, akan melihat selurruh Umno negeri dan akar umbi mereka memilih calon mereka sendiri untuk pilihan raya umum, berbanding presiden yang menerima laporan tetapi tidak tahu situasi akar umbi. – 28 Jun, 2018
Komen