Pembunuh Altantuya hantar surat peribadi kepada Dr Mahathir 


Melati A. Jalil

BEKAS anggota Unit Tindakan Khas polis Sirul Azhar Umar, yang disabitkan kerana membunuh wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, menghantar surat peribadi kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. 

Surat itu dihantar melalui bekas ketua Umno Batu Kawan Khairuddin Abu Hassan yang melawatnya di Pusat Tahanan Villawood di Sydney, Australia hari ini.

Khairuddin berkata beliau bertemu dengan Sirul selama satu jam setengah di pusat tahanan berkenaan.

“Dalam pertemuan ini juga, Sirul Azhar Umar telah mengutuskan sepucuk surat kepada YAB perdana menteri Malaysia yang mana saya sendiri tidak tahu apa isi kandungannya!” kata Khairuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Sirul, yang melarikan diri dari Malaysia pada 2013, turut memberi gambaran kesediaannya untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa Malaysia kerana kepercayaannya terhadap kerajaan Pakatan Harapan. 

“Kini, Sirul Azhar Umar kelihatan amat bersemangat dan tidak lagi dibelenggu oleh sebarang perasaan takut kerana beliau amat yakin dengan sistem perundangan baru di malaysia yang diterajui oleh Pakatan Harapan yang mampu membela kalangan yang teraniaya,” kata Khairuddin. 

Pada 20 Jun lalu, bapa Altantuya, Setev Shaariibuu turut mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir di pejabatnya di Putrajaya. 

Peguam keluarga Shaariibuu, Ramkarpal Singh berkata perdana menteri percaya terdapat asas kukuh untuk membuka semula kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu namun semua usaha itu perlu dilakukan dengan mengikut undang-undang.

Ramkarpal berkata, Dr Mahathir mengarahkan semua bukti kukuh dibentangkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut. 

Setev turut membuat laporan di ibu pejabat polis Dang Wangi untuk menggesa pihak berkuasa menyiasat lebih mendalam berhubung peranan Timbalan Pesuruhjaya Polis Musa Safri dalam kes pembunuhan Altantuya.

Beliau turut berjumpa dengan Peguam Negara Tommy Thomas untuk menggesanya membuka semula siasatan. 

Altantuya, 28 ditembak mati sebelum mayatnya diletupkan di kawasan hutan di Puncak Alam, Shah Alam pada 2006.

Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri - yang pernah menjadi pengawal peribadi bekas perdana menteri Najib Razak - didapati bersalah kerana membunuh wanita warga Mongolia itu dan dijatuhi hukuman mati pada 2015. – 28 Jun, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen