4 pegawai SKMM letak jawatan, kata Gobind


Melati A. Jalil

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata surat peletakan jawatan empat pegawai SKMM yang diterima pada 25 Jun berkuatkuasa bulan depan semasa ditemui di majlis sambutan Hari Raya di Putrajaya, hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 28 Jun, 2018.

EMPAT pegawai tertinggi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), termasuk pengerusi dan ketua pegawai operasinya (COO), melepaskan jawatan mereka, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Surat peletakan jawatan mereka yang berkuatkuasa bulan depan sudah diserahkan pada Isnin (25 Jun).

“Terdapat empat pegawai yang menyerahkan surat peletakan jawatan mereka, termasuk Pengerusi Halim dan COO Mazlan,” kata Gobind kepada pemberita pada sambutan Hari Raya kementerian di Putrajaya hari ini.

Beliau merujuk kepada pengerusi SKMM Halim Shafie dan COO Mazlan Ismail.

“Saya akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara itu esok. (Kerana) pelbagai sebab, saya tidak akan memberi butirannya sekarang, tetapi apabila saya mengeluarkan kenyataan saya, kami akan memberikan segala butiran kepada anda,” katanya.

Beliau berkata pengganti bagi jawatan yang dikosongkan akan diumumkan dalam masa terdekat dan kementerian juga sedang meneliti beberapa cadangan untuk menambahbaik SKMM, termasuk memisahkan kedudukan CEO dan pengerusi agensi itu.

“Terdapat beberapa saranan yang sudah diperhalusi,” katanya.

Mazlan sebelum ini bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh di bawah tiket Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Mengenai kemungkinan penggabungan dua entiti media di bawah kawalan kementerian itu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Agensi Berita Kebangsaan Malaysia (Bernama), Gobind berkata satu jawatankuasa sedang ditubuhkan untuk melihat perkara itu.

Dalam temubual baru-baru ini dengan The Malaysian Reserve, Gobind, yang juga ahli Parlimen Puchong, berkata cadangan itu adalah sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan kos operasi. – 28 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen