NGO gesa wujudkan semula 'hotline' kanak-kanak


Diyana Ibrahim

Pengarah Projek Childline Malaysia, PH Wong berkata talian itu sangat diperlukan sebagai salah satu platform kepada generasi muda yang memerlukan bantuan terutama dari segi kaunseling. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 30 Jun, 2018.

PENYEDIA perkhidmatan talian kecemasan kanak-kanak, Childline Malaysia menggesa kerajaan mewujudkan semula hotline khas untuk golongan itu.

Pengarah Projek Childline Malaysia, PH Wong berkata talian itu sangat diperlukan sebagai salah satu platform kepada generasi muda yang memerlukan bantuan terutama dari segi kaunseling.

Katanya, kerajaan pernah menyediakan talian hotline khas untuk kanak-kanak iaitu Talian Nur 15999 yang dilancarkan pada 2007, ketika Shahrizat Abdul Jalil menteri pembangunan wanita dan keluarga. 

Ia ditukar kepada Talian Kasih ketika kementerian itu di bawah Rohani Abdul Karim. Selepas penukaran itu, ia bukan sahaja menerima panggilan dari kanak-kanak tetapi juga bagi wanita.

Sejak penukaran jenama Talian Kasih, tiada lagi talian hotline khas untuk kanak-kanak dan situasi tersebut membimbangkan mereka, kata Wong dalam satu wawancara khas dengan The Malaysian Insight

Hakikatnya ada sebanyak 80,000 panggilan setahun yang diterima oleh Talian Nur dan ini dibuat oleh kanak-kanak sendiri,” tambahnya.

Beliau bimbang kerana panggilan yang paling banyak diterima daripada kanak-kanak itu adalah berhubung masalah kesihatan mental, psikologi dan sosial.

“Paling tinggi adalah untuk kemurungan, jadi mereka sendiri telefon talian ini. Bagi kami situasi ini kerana mereka tahu talian tersebut dan ia menunjukkan ada perkara yang tidak kena,” katanya.

Beliau berkata ketiadaan data rekod panggilan bagi talian tersebut juga amat membimbangkan kerana info tersebut diperlukan untuk membantu kerajaan menyelesaikan sesuatu isu.

Data aduan kanak-kanak tidak didedahkan

“Dalam tempoh lima tahun pertama 2010-2015 kita ada data dan dipaparkan sehingga ke peringkat antarabangsa. Dari data itu, kita dapat lihat berapa ramai kanak-kanak yang buat panggilan, apa yang diluahkan.

“Tapi sejak tempoh tiga tahun lepas, data tersebut tidak lagi didedahkan. Jadi kita tidak tahu apa yang menganggu kanak-kanak ini,” katanya.

Wong juga kesal kerana panggilan ke Talian Kasih juga masih dikenakan bayaran, kecuali bagi pengguna talian Digi yang tidak mengenakan caj kepada pemanggil.

“Kita harapkan sokongan daripada pihak korporat. Kita perlukan lebih banyak syarikat korporat yang tampil bersama demi untuk kepentingan kanak-kanak di Malaysia.

Ini memandangkan, tidak semua panggilan ke Talian Nur melibatkan kes penderaan kerana ada juga kes kanak-kanak yang menelefon untuk berkongsi perasaan.

Katanya pihaknya mencadangkan agar talian khas kanak-kanak itu diuruskan oleh badan pertubuhan bukan kerajaan.

Beliau juga berkata, penambahbaikan perlu dilakukan untuk membolehkan aduan diterima dari semua golongan kanak-kanak terutama kurang upaya.

Wong juga menggesa kerajaan PH untuk melibatkan kanak-kanak secara terus dalam menggubal dasar dasar untuk kepentingan golongan itu, seperti dilakukan di negara Hong Kong.

Katanya kerajaan perlu meneliti semula penubuhan Majlis Perwakilan Kanak-Kanak supaya ia benar mengikut Konvesyen Hak Kanak-Kanak (CRC).

“Pemilihan Majlis Perwakilan Kanak-Kanak. Mereka ini mewakili siapa? Kalau ikut CRC, semua kanak-kanak diwakili tidak kira mereka ada kerakyatan atau tidak ada.

“Apa saja polisi yang kita mahu buat mengenai mereka, kena tanya mereka kerana jumlah mereka adalah 40 peratus dan suara mereka sepatutnya didengar,” tegasnya. – 30 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen