Umno memilih Sabtu ini, pilihan ketua bahagian atau ahli?


Chan Kok Leong Nabihah Hamid

Ramai perwakilan Umno berkata tidak ada senarai dikeluarkan dan tiada arahan daripada ketua bahagian untuk mengundi calon tertentu pada pemilihan parti hujung minggu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun, 2018.

PENGARUH ketua perang Umno dalam menetapkan pemilihan parti kini sewakin berkurangan selepas kekalahan parti dalam PRU14, kata para perwakilan dan ketua bahagian.

Mereka mengakui bahawa kekuatan pengaruh itu berbeza mengikut negeri dan bahagian, namun secara umum, itulah yang digambarkan oleh para pemimpin Umno ini kepada The Malaysian Insight.

Mereka turut menjangka, pengundian untuk jawatan tertinggi pada Sabtu ini akan memihak kepada bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi yang juga pemangku presiden dan mempunyai hubungan baik dengan ketua-ketua bahagian.

Tetapi memandangkan senarai calon atau “cai” (bermaksud menu dalam bahasa Cina) berleluasa, kini lebih ramai perwakilan menyerahkan pengundian kepada pilihan individu.

“Ia berbeza sekarang,” kata Zailan Mokhtar, 51, seorang wakil cawangan yang bekerja sebagai peniaga di Masjid India.

Katanya, tiada sebarang arahan diterima daripada ketua bahagiannya di Bukit Bintang, Zainal Abidin Mohd Rafique untuk memilih mana-mana calon tertentu.

Zailan berkata sejak Umno mengadakan pemilihan secara terbuka pada 2013, pengaruh ketua perang itu semakin berkurangan kerana terlalu ramai perwakilan dapat mengundi.

Sebelum 2013, pemimpin tinggi Umno dan Majlis Tertinggi ditentukan oleh kira-kira 2,700 perwakilan yang menghadiri perhimpunan agung tahunan. Tetapi selepas pindaan perlembagaan parti ke atas peraturan pemilihan, jumlah perwakilan mengundi bertambah kepada lebih 100,000, kata Zailan.

“Dengan apa yang berlaku selepas PRU14, perwakilan diminta menggunakan budi bicara sendiri,” kata pesara tentera itu ketika ditemui di majlis Hari Raya untuk perwakilan Umno Wilayah Persekutuan baru-baru ini.

Penganjuran perjumpaan Hari Raya seperti itu merupakan salah satu cara bagi calon untuk memikat perwakilan di negeri-negeri, yang bermula sejak minggu lalu. Calon menggunakan perjumpaan seperti itu untuk memperkenalkan diri dan mengedar kad serta risalah biodata, pengalaman politik dan nombor undian.

Perjumpaan peringkat negeri pula dianjurkan untuk Zahid, yang memberi peluang untuknya memberi ucapan kepada perwakilan.

Pesaingnya dalam pemilihan jawatan presiden ialah Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin, serta calon yang kurang dikenali iaitu Mohamed Iqbal Maricair dan Mohd Yusuf Musa @ Jamaluddin.

Calon yang tidak dikenali seperti itu terpaksa menganjurkan sendiri majlis perjumpaan mereka untuk berkempen dalam kalangan perwakilan.

Calon yang merebut jawatan timbalan presiden ialah ketua penerangan parti Annuar Musa dan bekas menteri besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan.

Jawatan naib presiden akan menyaksikan beberapa bekas menteri dan ketua menteri merebut tiga kerusi itu. Seramai 106 calon akan bertanding mendapatkan 25 tempat dalam majlis tertinggi, dan antara calonnya ialah ahli parlimen dan bekas menteri.

Sementara itu, ketua Umno bahagian Rasah Hasim Rusdi berkata beliau tidak tahu jika wujud sebarang senarai khusus setakat ini tetapi para ketua bahagian masih diminta menyarankan calon yang patut diundi.

“Kami tidak beri arahan tetapi ramai perwakilan merujuk kepada kami untuk dapatkan nasihat. Tetapi itu hanya rujukan saja,” kata Adun Labu itu.

Katanya, bahagiannya akan memilih berdasarkan kepada pengetahuan calon, integriti dan kemampuan sebelum menasihati perwakilan.

Jumlah calon dari negeri tertentu juga menjadi faktor penting dalam memastikan setiap negeri ada wakil dalam Majlis Tertinggi.

“Contohnya, ada ramai calon dari Selangor. Kita tidak boleh biarkan semuanya menang, kan?” kata Hasim.

Ketua Umno Bahagian Jelebu Jalaluddin Alias pula berkata ramai perwakilan bertanya meminta nasihat ketua bahagian.

“Tetapi bagi saya, ini masa terbaik untuk undi ikut rasa hati. Kita perlu pilih presiden mengikut umurnya, kemampuan dan sama ada beliau diterima oleh semua kaum atau tidak,” kata Jalaluddin.

Namun jika ada senarai, ia disebabkan perwakilan tidak cukup mengenali calon, kata exco Wanita Tambun Nuraniza Paijan.

“Bila mereka beri kami senarai, kami patut ikut saja. Saya mahu ikut senarai itu kerana saya tidak begitu mengenali semua calon,” katanya.

Di bahagian akar umbi, ketua cawangan Kampung Sialang Hilmi Zurghida berkata pengaruh ketua perang berbeza dari satu tempat dengan tempat lain.

“Sukar untuk warlord sekarang kerana ramai boleh nilai sendiri calon. Bagi Umno untuk kembali, kita perlu undi ikut siapa yang kita fikir calon terbaik.”

Perwakilan dari Batu, Norhisham Abdul Mutalib berkata beliau tidak percaya jika pengaruh ketua perang itu maish kuat seperti ketika sebelum kekalahan Barisan Nasional dalam PRU14.

“Terlalu ramai perwakilan dan lebih pun mereka tidak lagi berpengaruh seperti dulu. Bagi bahagian saya, ia terbuka kepada semua calon,” katanya. – 28 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Tdk dinafikan bahawa Umno banyak berjasa kepada rakyat dan negara. Namun kini majoriti rakyat telah hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan Umno.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Nizam Hasbullah · Ulasan