KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah akan menubuhkan sekretariat bagi melihat insentif yang akan diberikan kepada usahawan di kawasan luar bandar, kata menterinya Rina Harun.
Beliau berkata sekretariat itu akan memastikan tiada penyalahgunaan kuasa berlaku dan hanya mereka yang layak menerima dana berkenaan.
“Kami ingin memastikan insentif kepada usahawan diberikan kepada mereka pihak yang betul.
“Kami tidak mahu berikan insentif kepada mereka yang tidak berminat,” katanya di Putrajaya hari ini.
Rina berkata mereka tidak mahu melihat sebarang penyalahgunaan insentif itu.
“Sebagai contoh, kami berikan insentif kepada mereka untuk membeli peralatan pertanian tetapi mereka hilang minat dan menjual peralatan itu.
“Kami mahu usahawan luar bandar lebih bertanggungjawab.”
Rian berkata insentif berkenaan adalah bagi menggalakkan lebih ramai belia di kawasan kampung untuk menjadi usahawan.
“Insentif ini adalah bagi mengelakkan belia berhijrah ke bandar.
“Kami mahu lahirkan lebih ramai usahawan muda bagi membolehkan mereka membangunkan kampung mereka.”
Bagi meningkatkan produktiviti di kawasan kampung, Rina berkata kementerian merancang untuk menganjurkan persidangan antarabangsa dan pameran mengenai automasi jentera.
“Ini adalah untuk industri kecil dan sederhana bagi membantu usahawan luar bandar.
“Mereka akan didedahkan dengan teknologi yang akan membantu meningkatkan produktiviti mereka.
“Kami tidak mahu mereka hanya bergantung kepada kaedah tradisional,” katanya.
Rina berkata mereka akan terus menyebarkan maklumat kepada usahawan luar bandar.
“Usahawan luar bandar tidak akan dipinggirkan.
“Kita akan terus menyediakan maklumat bagi pelbagai insentif.”– 27 Jun, 2018
Komen