AHLI Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menjadi anggota Parlimen Umno terbaharu yang meninggalkan parti itu.
Ia menjadikan jumlah ahli Parlimen Persekutuan bagi parti utama dalam Barisan Nasional (BN) itu seramai 52 orang.
Dalam sidang akhbar secara langsung yang disiarkan di laman Facebook Perak Today, beliau berkata akan memfakskan surat peletakan jawatannya, yang berkuatkuasa mulai 1 Julai, ke ibu pejabat Umno.
Beliau juga berkata tidak menyertai mana-mana parti politik lain selepas meninggalkan Umno.
“Saya tidak menyertai mana-manapun. Saya akan menjadi bebas,” katanya.
Keputusannya itu dibuat selepas tiga hari rakan seperjuangannya, Dr Noor Azmi Ghazali keluar daripada parti itu.
Syed Abu Hussin berkata beliau keluar Umno untuk membantah layanan yang diterima ahli pasukannya walaupun mereka membantunya menang kerusi untuk BN pada pilihan raya lepas.
Ketua Bahagian Bukit Gantang itu berjaya mengekalkan kedudukannya pada pemilihan bahagian baru-baru ini tetapi semua penyokongnya gagal.
Adun Changkat Jering Ahmad Saidi Mohamad Daud kalah pada pemilihan bahagian merebut jawatan ketua Pemuda Umno Bukit Gantang.
Manakala, Adun Trong Jamilah Zakaria pula tidak dapat bertanding kerana tiada peluang, dakwa Syed Abu Hussein.
“Dua wakil rakyat yang ada potensi besar, YB Saidi dan YB Jamilah mendapati diri mereka tiada tempat di kepimpinan sayap,” katanya.
“Ia tamparan besar buat saya. Apakah isyarat yang cuba diberikan pemimpin akar umbi kepada saya dan kepada mereka yang mengundi dua wakil rakyat itu yang sekarang tiada tempat dalam kepimpinan sayap parti?
“Saya sangat kecewa. Kejayaan kita (pada PRU14) besar tetapi tidak dihargai oleh sebahagian Umno Bukit Gantang walaupun kesukaran yang kami tempuhi untuk dapatkan kerusi itu,” katanya.
Pada 9 Mei lalu, BN di Bukit Gantang- di bawah kepimpinan Syed Abu Hussin- berjaya menyapu bersih kerusi Parlimen yang dipegang PAS sejak 2008. Beliau menang selesa dengan majoriti 4,089.
BN juga menang semua tiga kerusi DUN dalam Parlimen itu, Kuala Sepetang yang sebelum ini milik PKR, Changkat Jering yang dipegang PAS dan Trong.
Syed Abu Hussin berkata menjelang PRU14, terdapat sokongan kuat akar umbi tetapi perpecahan mula berlaku ketika pemilihan parti berlangsung.
Beliau mengharapkan pengundi menerima keputusannya untuk keluar parti, berjanji akan terus berkhidmat di kawasan itu dan akan mengadakan pertemuan dengan mereka. – 27 Jun, 2018.
Komen