Isu penindasan Syiah dibawa ke perhatian Majlis Penasihat Kerajaan


Radzi Razak

Penulis Faisal Tehrani mencadangkan kepada Majlis Penasihat Kerajaan untuk menubuhkan satu penasihat agama kebangsaan sebagai usaha pembaharuan institusi agama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2018.

ISU penindasan terhadap golongan Syiah merupakan antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan wakil institusi agama dengan Majlis Penasihat Kerajaan hari ini

Hal itu disahkan oleh Felo Institut Amalan dan Tamadun Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Mohd Faizal Musa selepas pertemuan beliau dengan Majlis hari ini.

“Ya, hal itu dibincangkan. Tapi saya tak boleh berikan perincian mengenainya lagi,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Faizal atau nama penanya Faisal Tehrani merupakan antara individu yang sering bertembung dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana dikaitkan dengan Syiah.

Tujuh buah buku hasil karya pensyarah itu yang diharamkan sejak 2013 kerana didakwa berkaitan dengan fahaman tersebut.

Faizal berkata, beliau turut mencadangkan kepada Majlis untuk menubuhkan satu majlis penasihat agama kebangsaan sebagai satu lagi usaha pembaharuan institusi agama.

Ahli majlis berkenaan pula haruslah terdiri dari pelbagai kelompok masyarakat dan bukannya hanya golongan agamawan.

“Ahlinya patut terdiri bukan saja agamawan tapi ahli akademik, aktivis masyarakat, sosiologis dan sebagainya,” kata beliau.

Turut tampil memberi saranan kepada Majlis hari ini adalah tiga orang mufti – Dr Mohd Asri Zainul Abidin dari Perlis, Wan Salim Wan Mohd Noor dari Pulau Pinang dan dari Johor, M. Tahrir Samsudin.

Dr Mohd Asri antara lain memberi penerangan kepada Majlis mengenai isu melibatkan peranan Jakim dan Wan Salim pula ditanya mengenai isu perbezaan mazhab di Malaysia.

Turut memberi pandangan adalah wakil dari NGO Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Sisters In Islam (SIS). – 27 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen