Ku Li harap ramalan Zahid yang Pakatan akan tumbang benar


Looi Sue-Chern

Tengku Razaleigh Hamzah berharap Umno bersatu dan bersedia menjadi kuasa yang kuat untuk mentadbir negara sekiranya Pakatan Harapan tumbang. – Gambar The Malaysian Insight, 27 Jun, 2018.

TENGKU Razaleigh Hamzah berkata beliau berharap pesaingannya bagi jawatan presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi betul dalam meramalkan kejatuhan Pakatan Harapan (PH).

“Mari kita berdoa agar perkara itu berlaku tidak lama lagi,” kata ahli Parlimen Gua Musang yang berusia 81 tahun itu di Pulau Pinang hari ini selepas bertemu anggota Umno di Seberang Jaya.

“Itulah sebabnya kita perlu bersedia menyatukan Umno dan menjadikannya satu kuasa yang kuat.”

Zahid baru-baru ini berkata beliau yakin Umno akan kembali ke Putrajaya tidak lama lagi tanpa memerlukan pilihan raya umum kerana kerajaan PH tidak stabil dan akan runtuh dalam masa terdekat.

“Jika keadaan berlaku seperti yang dikatakan Zahid, dan ada keperluan untuk menukar kerajaan, kita perlu bersedia mengambil alih atau mengambil bahagian,” kata Tengku Razaleigh.

“Kita perlu bersedia.”

Zahid bercakap kepada ahli-ahli Umno Wilayah Persekutuan pada satu majlis Hari Raya yang baru-baru ini.

Wakil rakyat PH mendakwa ia adalah cubaan presiden sementara parti Melayu itu memancing undi bagi jawatan kerusi presiden.

Ditanya sama ada beliau turut berpandangan demikian, Tengku Razaleigh berkata, “Mungkin. Saya tidak tahu. Anda perlu bertanya kepadanya.”

Beliau dan Zahid adalah antara lima calon presiden Umno termasuk bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin Abu Bakar. – 27 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen