WALAUPUN Barisan Nasional kehilangan hampir semua parti komponennya sejak kekalahan memalukan bulan lepas, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah terus percaya yang gabungan itu masih relevan.
“Ia kekal relevan, walaupun hanya ada satu parti tinggal kerana ideanya adalah kea rah pembinaan negara yang bersatu,” katanya.
Ahli Parlimen Gua Musang itu yang bertanding merebut jawatan presiden Umno pada pemilihan parti hujung minggu ini akan menentang empat calon lain termasuk penyandang presiden Ahmad Zahid Hamidi dan bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin.
Bercakap kepada media selepas berjumpa ahli Umno Pulau Pinang di Seberang Jaya, veteran parti dari Kelantan berusia 81 tahun itu yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li, berkata jika diberikan peluang beliau mahu berbincang dengan parti komponen yang keluar BN.
Beberapa parti komponen BN di Sabah dan Sarawak keluar bulan lepas dan awal bulan ini. Terbaru, Gerakan umum keluar Sabtu lepas.
“Jika saya diberika peluang, saya akan bercakap dengan mereka mengenai mengapa mereka buat keputusan keluar.
“Lagipun, Tun Razak membentuk BN lanjutan daripada Perikatan supaya kita ada keamanan politik,” katanya merujuk kepada Perdana Menteri Kedua Abdul Razak Hussein yang juga bapa kepada Najib Razak.
“BN dicipta supaya kita tak perlu berpolitik sangat tetapi menumpukan perhatian kepada usaha pembinaan negara,” katanya. – 27 Jun, 2018.
Komen