TENGKU Razaleigh Hamzah adalah calon tertua yang bertanding merebut jawatan tertinggi Umno tetapi visinya untuk parti Melayu itu berkisar kepada generasi muda.
Pada pertemuan dengan ahli Umno Pulau Pinang di Seberang Jaya hari ini, pemimpin berusia 81 tahun itu berulang kali membincangkan keperluan untuk membangunkan kepimpinan generasi muda.
“Kita perlu membangunkan pemimpin muda kerana kita akan berdepan banyak masalah dan perlu membantu generasi ini. Mereka akan membentuk separuh jumlah penduduk negara ini.
“Orang muda perlu menyahut cabaran untuk menjadi pemimpin ini. Mereka tak perlukan orang tua,” katanya dalam ucapan merujuk kepada gesaan sebilangan pemimpin Umno yang mahukan beliau bertanding yang akhirnya mempengaruhi keputusannya.
Veteran politik itu mengatakan secara peribadi beliau tidak mahu bertanding dan merasakan pemimpin muda seperti bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan ahli Majlis Tertinggi Reezal Merican Naina Merican lebih sesuai untuk memimpin.
“Kita yang veteran ini patutnya tolong mereka sahaja, bantu dalam perjuangan,” katanya.
Tengku Razaleigh berkata beliau meminta nasihat para intelektual, ahli akademik dan golongan profesional sebelum memutuskan untuk bertanding, semua mereka mengatakan perkara sama; tiada yang salah dengan Umno cuma masalah kepimpinan.
“Kebelakangan ini, Umno jadi tak demokratik. Tiada peluang untuk generasi muda diasuh jadi pemimpin masa hadapan.
“Mereka berdepan cabaran dan halangan bergerak ke hadapan…ada yang mahu simpan Umno untuk ahli keluarga sendiri sahaja.
“Zaman dahulu, ada (proses) mengasuh dan melatih (pemimpin) untuk negara. Jika kita ada semua itu, sudah tentu ada kesinambungan perjuangan,” katanya.
Beliau menambah yang Umno kini kekurangan pemimpin yang boleh mengambil alih, termasuklah di peringkat negeri memetic kejadian sukarnya memilih menteri besar Pahang selepas Adnan Yaakob tidak mahu menjawat kembali tanggungjawab itu.
“Kita betul-betul tak cukup orang kerana kita tak ajar mereka untuk bersedia ambil alih kepimpinan negeri.
“Di peringkat kebangsaan, saya bukan penganti. Saya dah tua,” kata ahli politik yang lebih mesra dikenali sebagai Ku Li itu.
Tengku Razaleigh menentang empat calon lain termasuk penyandang jawatan, Ahmad Zahidi Hamidi dan Khairy dalam pertandingan lima penjuru merebut jawatan presiden Umno.
Katanya lagi, sudah sampai masanya untuk kembali kepada pendekatan lama “dari akar umbi ke atas” dan bukannya pendekatan “top-down” yang digunakan sekarang bagi membolehkan lebih banyak penglibatan dan suara anak muda akar umbi.
Beliau mendakwa menerima sokongan golongan muda dalam parti selepas ditanya wartawan jika beliau mempunyai sokongan golongan muda dalam parti memandangkan beliau bertanding melawan Khairy.
“Saya diberitahu saya ada (sokongan),” katanya memetik sokongan Ketua Pemuda Umno yang baru, Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang juga berasal dari Kelantan.
“Dia bukan kumpulan KJ (Khairy). Ada juga yang sokong saya dari kumpulan KJ. Ia bukti jelas mereka mahukan perubahan.” – 27 Jun, 2018.
Komen