Kediaman Najib di Langgak Duta jadi tumpuan lagi


Radzi Razak

Kenderaan yang dipercayai membawa bekas perdana menteri Najib Razak dilihat memasuki kediaman peribadinya di Jalan Langgak Duta.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 Jun, 2018

KEDIAMAN bekas perdana menteri Najib Razak kembali menjadi tumpuan petugas media petang ini yang menerima maklumat bahawa satu serbuan mungkin akan dijalankan pihak berkuasa.

Kira-kira 30 orang wartawan dan jurugambar tersebut bersiap sedia di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur untuk menanti sekiranya terdapat sebarang operasi.

Anggota polis dengan van dan khemah sementara bagaimanapun dilihat basih berkawal di laluan masuk ke rumah Najib sejak pasukan itu mengadakan serbuan Mei lepas.

Kenderaan membawa Najib dilihat meninggalkan kediaman pukul 6.15 petang ke destinasi yang tidak dapat dipastikan. 

Najib kembali ke rumahnya pada jam 9.35 malam dan tiada sebarang serbuan pihak berkuasa dijalankan sehingga waktu itu.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika dihubungi berkata beliau tidak mengetahui jika pasukannya membuat sebarang operasi ke rumah Najib hari ini.

“Mungkin maklumat yang diterima (media) itu tidak benar,” kata beliau ketika ditanya. 

Perkara sama turut dinyatakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh yang berpendapat, media mungkin mendapat maklumat tidak benar.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil turut melawat wartawan yang berkampung di luar kediaman peribadi bekas perdana menteri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 Jun, 2018

“Saya tidak tahu. Di pihak (JSJK) saya, tiada apa-apa tindakan malam ini, sila semak dengan pihak lain,” kata beliau ketika dihubungi pihak media yang menunggu. 

Najib, 64, kini berdepan siasatan pihak berkuasa berhubung penyelewengan dana daripada SRC International, salah sebuah bekas anak syarikat 1MDB. 

Pihak berkuasa Malaysia kini dijangka mendakwa Najib dengan tuduhan pengubahan wang haram setelah laporan terdapat jutaan ringgit dimasukkan ke akaun peribadinya menerusi dana SRC.

Najib secara konsisten menafikan penglibatan beliau dengan perkara itu.

Parti Barisan Nasional pimpinan Najib, kalah pilihan raya umum 9 Mei selepas 60 tahun membentuk kerajaan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah berjanji akan menghukum pesalah berkaitan penyelewengan 1MDB.– 26 Jun, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen