SABAH bercadang untuk membenarkan pekerja asing dalam sektor perladangan di negeri itu untuk membawa pasangan dan anak-anak mereka, kata Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal.
Cadangan itu dibuat sebagai respons kepada permintaan pemilik ladang di Pantai Timur Sabah yang mengalami masalah kekurangan tenaga pekerja, katanya.
Mengikut undang-undang imgresen Malaysia sedia ada, pekerja asing tidak dibenarkan untuk membawa isteri dan keluarga mereka bekerja di Malaysia.
Shafie berkata satu jawatankuasa di bawah jawatankuasa keselamatan negeri akan meneliti perkara itu bagi memastikan semua pekerja dan keluarga mereka menjalani saringan.
“Ini akan membolehkan kita untuk menyediakan dokumen khas untuk mereka. Ia juga membolehkan kita mengatasi batas tertentu seperti larangan membawa isteri dan keluarga mereka ke sini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa keselamatan negeri hari ini.
Beliau tidak menyatakan sama ada isteri atau anak-anak mereka diperlukan untuk bekerja dalam sektor perladangan, tetapi dokumen khas yang akan diberikan kepada mereka adalah pas kerja dan bukan dokumen pengenalan tetap.
Jawatankuasa yang akan mengkaji isu itu akan dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Sukarti Wakiman.
Berdasarkan statistik Jabatan Imigresen yang dikeluarkan pada 2015, daripada 136,676 yang bekerja dalam pelbagai sektor di Sabah, 76,603 adalah pekerja dalam sektor perladangan. – 26 Jun, 2018.
Komen