JAWATANKUASA Pembaharuan Institusi (JPI) mengkaji penyelewengan dalam bentuk lain dan bukan hanya penyelewengan kewangan atau penyalahgunaan, kata ahli jawatankuasa itu Mah Weng Kwai.
Jawatankuasa ini membuat pemantauan di tujuh institusi yang mana rasuah serta campur tangan politik menjadi masalah, dan menambah laporan kelima dan terakhir sedang disiapkan untuk diserahkan kepada Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) bulan depan.
“Kita bukan hanya melihat penyelewengan dari aspek kewangan sahaja tetapi juga dalam aspek lain. Ini kerana setiap institusi berdepan isu rasuah dan campur tangan politik,” katanya kepada The Malaysian Insight baru-baru ini.
Tujuh institusi utama di bawah pengawasan adalah Parlimen, kehakiman, polis, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, kata Mah.
“Pelbagai institusi semuanya berdepan masalah sama iaitu rasuah dalam organisasi. Pembaharuan ini mensasarkan untuk membanterasnya dan memastikan tiada toleransi terhadap rasuah.”
Mah yang juga pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkata, JPI mengadakan banyak mesyuarat dalaman, diikuti mesyuarat dengan pihak berkepentingan dari pelbagai institusi dan komuniti.
Semua mesyuarat dengan pihak berkepentingan berakhir semalam dan jawatankuasa itu dalam proses memuktamadkan laporan akhirnya.
“Kita telah menghantar laporan interim kepada MPK. Dalam laporan ketiga kami membuat lima syor kepada MPK.
“Kita tidak boleh dedahkan lima syor itu buat masa ini. Beberapa isu terakhir yang kita lihat adalah pemilihan pihak berkuasa tempatan, hukuman mati dan sebat, sebelum membentangkan laporan akhir.”
Laporan kelima dan terakhir JPI akan diserahkan kepada MPK, yang dipengerusikan Daim Zainuddin pada pertengahan Julai.
“Ia di mana lebih banyak syor akan dibuat. Berapa banyak kita masih belum tahu kerana ia masih dalam proses.”
Sebaik sahaja laporan akhir diserahkan, JPI dianggap sudah menyelesaikan tugasnya.
Namun menurut Mah, ahlinya tetap bersedia sekiranya tempoh mereka dilanjutkan sekiranya ada isu berbangkit.
MPK akan membentangkan laporan pengesyoran JPI kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Selain Ambiga dan Mah, jawatankuasa berkenaan terdiri daripada bekas hakim Mahkamah Rayuan K.C. Vohrah, Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan Brigedier Jeneral (B) Mohamed Srshad Raji dan profesor undang-undang Universiti Malaya Shad Saleem Faruqi. – 26 Jun, 2018
Komen