BEKAS ketua menteri Sabah Musa Aman akhirnya mengakui berada di United Kingdom selepas menghilangkan diri sejak 14 Mei lalu.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Musa juga menjelaskan pelbagai dakwaan terhadapnya termasuklah kejadian pada 10 Mei lalu, malam beliau mengangkat sumpah sebagai ketua menteri yang kini sudah jadi kes polis.
“Saya dimaklumkan tentang banyak kenyataan dan laporan kebelakangan ini yang saya meninggalkan Malaysia secara haram atau memasuki United Kingdom secara haram.
“Kesannya adalah saya kini jadi orang buruan dan sengaja menjadikan diri saya tidak dapat dihubungi pihak berkuasa untuk siasatan.
“Tiada satupun yang benar. Saya percaya sebahagian laporan itu malangnya dibuat dengan niat memalukan atau menjatuhkan saya kerana sebab politik,” katanya dalam satu kenyataan dibuat Setiausaha Medianya Awang Faisyal.
Menurut Musa, beliau meninggalkan Malaysia secara sah pada 16 Mei kerana sebab perubatan dan peribadi, menegaskan yang beliau masih meneruskan usaha mendapat pengisytiharan mahkamah berkaitan kesahan pelantikannya sebagai ketua menteri.
Beliau juga menjelaskan yang tindakan Yang DiPertua Sabah Juhar Mahiruddin melantik pesaingnya daripada Warisan, Shafie Apdal sebagai ketua menteri pada 12 Mei adalah “ultravires” dan melanggar Perlembagaan Negeri memandangkan beliau masih menjawat jawatan itu. – 26 Jun, 2018.
Komen