ECRL akan diteruskan jika syarat dirunding semula, kata Dr Mahathir


Kamles Kumar

Dr Mahathir Mohamad berkata kos yang dirunding oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini amat tinggi dan perlu dikaji semula. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 25 Jun, 2018.

PROJEK Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) akan diteruskan jika syarat rundingan semula menyebelahi Malaysia, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata kos yang dirunding oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini amat tinggi dan perlu dikaji semula.

“Semua syarat ini perlu dirunding semula, jika syaratnya lebih baik sudah tentu kita akan teruskan,” kata Dr Mahathir pada sidang akhbar di ibu pejabat Bersatu hari ini.

Jelas beliau, projek itu tidak sepatutnya menelan belanja sehingga RM55 bilion dan tender bagi projek itu tidak seharusnya hanya memihak kepada syarikat pembinaan China.

“Kita tak fikir ia perlu menelan kos RM55 bilion. Banyak perkara yang dibuat dengan tak betul. Kontrak diberi kepada syarikat China dengan pekerja dari China. Jadi apa yang Malaysia dapat?” kata Dr Mahathir.

Dua hari lalu Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata projek ECRL akan diteruskan kerana Malaysia mahu terus komited merunding semula harga projek itu. – 25 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen