BERSATU bercadang untuk melebarkan sayap ke Sarawak, kata Pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad.
Menurut perdana menteri, semua parti Pakatan Harapan (PH) sudah ada di Sarawak jadi tiada alasan untuk Bersatu mengikut serta.
“Kita akan ke Sarawak. Masih belum diputuskan. Ini kerana semua parti lain dalam Pakatan Harapan sudah ada di sana,” kata Dr Mahathir.
Bagaimanapun, beliau berkata Bersatu tidak akan ke Sabah memandangkan Parti Warisan Sabah adalah sekutu PH.
“Kita tak akan ke Sabah kerana kita terima Warisan sebagai rakan parti,” kata Dr Mahathir.
Mengenai Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dr Mahathir berkata terpulang kepada PH untuk menerima keahlian mereka sekiranya gabungan itu memohon.
“Mereka tak perlu menyertai jika mereka tak mahu,” kata Dr Mahathir.
Semalam, ketua menteri Sarawak mengadakan pertemuan dengan perdana menteri di Seri Perdana, Putrajaya.
Ia merupakan pertemuan pertama Abang Johari dengan Dr Mahathir sejak Sarawak keluar Barisan Nasional dan membentuk GPS.
Abang Johari sebelum ini berkata GPS akan kekal sebagai pembangkang tetapi akan bekerjasama dengan kerajaan PH dalam beberapa isu tertentu. – 25 Jun, 2018.
Komen