Konservatif Melayu mula takut


Zainal Rashid Ahmad

KETIKA masa depan dan peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) masih tidak menentu hala tujunya, serta kemunculan NGO Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mendesak kerajaan melaksanakan segera 21 tuntutan hak asasi dalam tempoh 100 hari memerintah, wujud rasa seram di kalangan konservatif Melayu.

Isu Jakim memberi petanda, akan wujud reformasi berantai dalam pentadbiran dan peranan agensi-agensi Islam. Malah, pembaharuan yang dimaksudkan, kini diinterpretasikan banyak pihak dengan pelbagai pandangan dan andaian.

Ada yang kata, Jakim akan menuju dasar Islam yang liberal. Ada yang berpandangan skop tugas Jakim akan berubah 180 darjah. Ada yang merumus: Jakim tidak boleh terlalu Sunni. Tidak boleh lagi anti Syiah atau tidak mesra Wahabi.

Malah, Jakim juga perlu menghormati hak asasi pendokong pemikiran liberal. Lebih seram lagi, Jakim kena terima kewujudan LBGT dan hak untuk murtad.

Ini antara pelbagai idea yang banyaknya hanya didramakan mengenai masa depan Jakim. Sekali gus, menyeret polemik mengenai kedudukan Islam menjadi tidak menentu pada era pembaharuan yang sedang getir berlaku.

Semuanya sangat sensasi. Apa lagi, sejak 10 Mei, kita melihat pembaharuan sedang mekar dan memainkan peranan besar dalam pelbagai segmen kehidupan di negara ini.

Bagi konservatif Melayu, ketakutan ini ada asasnya. Sejak 2003, Pakatan Harapan (PH) memang mesra dan disokong kuat oleh 63 NGO dalam gerakan Bersih. Gerakan Baju Kuning ini dilihat agresif menyeru pelaksanaan pembaharuan termasuk isu-isu yang dilihat sangat sensitif pada konservatif Melayu.

Selain isu menuntut proses pilihan raya yang adil, ada suara-suara agresif yang turut menempel secara aktif dalam gerakan Bersih. Kumpulan yang cenderung mendesak penilaian semula takrifan memgenai kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta definisi status ketuanan Melayu.

Malah, sekutu Bersih juga secara terbuka kerap menyentuh isu-isu sensitif yang menyinggung perasaan umat Islam. Terutama mempersoalkan pendirian tegas Jakim dalam menentang gerakan Seksualiti Merdeka dan aliran pemikiran liberal.

NGO pro Bersih turut mendesak supaya isu-isu berkaitan mazhab diberikan kebebasan terbuka. Selain itu, tegar mengkritik sikap agresif Jakim yang menghalang kehadiran tokoh-tokoh ilmuan yang tidak senada dengan amalan sunni di negara ini.

Sejujurnya, bukanlah rahsia, bahawa wujudnya lobi yang agresif untuk mempromosi unsur liberalisasi dalam pelaksanaan pentadbiran Islam di negara ini.

Lebih berani lagi, sejarah hubungan baik NGO yang anti Jakim ini, dilihat mesra PH sejak sekian lama. Malah, sejak 2003, banyak pemimpin Bersih dan pemimpin PH punya sejarah sering senada dalam suara mereformasikan interpretasi pelaksanaan hak asasi manusia. Walaupun, ia bercanggah dengan hukum Islam.

Konservatif Melayu kini mulai risau. Apakah liberalisasi hak asasi ini akan melangkau jauh hingga memaksa penerimaan agenda Seksualiti Merdeka dan hak kebebasan kepada pengamal Islam liberal untuk menyebarkan idea-idea mereka?

Ini antara isu-isu yang sangat ditakuti konservatif Melayu. Selama 61 tahun sejak merdeka, Umno selaku tulang belakang Barisan Nasional (BN), dilihat sangat melindungi parameter hak istimewa ketuanan Melayu. Malah, konsisten serta tegar menentang semua agenda yang dilihat bertentangan dengan amalan Sunni di negara ini.

Pembaharuan demi pembaharuan terasa menyeramkan. Isu perlantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara antara yang paling menguji. Dua minggu selepas membentuk kerajaan, PH mengumumkan perlantikan AG bukan Islam. Wujud bantahan konservatif Islam. Namun, suara mereka disenyapkan.

Dua minggu lalu, muncul pula berita Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif diperkenan berundur pada Julai nanti. Itu bukan kejutan. Namun, yang mengejutkan, ialah suara-suara yang agresif yang melobi perlantikan Hakim Besar Borneo Robert Malanjum sebagai pengganti.

Tentulah naik seram umat Islam yang berpegang pada konsep konservatif. Memandangkan ketua hakim negara, satu jawatan strategik. Konservatif Melayu mahukan jawatan itu kekal milik seorang Islam. Logiknya, Ketua Hakim Negara menjaga proses kehakiman negara.

Sekalipun, pandangan berhubung kerisauan dan rasa curiga konservatif Melayu boleh dianggap sahaja sebagai mainan sentimen yang dilebih-lebihkan sensasinya.

Namun, terlalu banyak rombakan yang menamatkan khidmat jawatan-jawatan strategik yang dipegang Melayu Islam, serta diganti dengan bukan Islam, pastilah mencetuskan perasaan terancam.

Walaupun PH kini mendokong kuasa pelbagai parti yang membentuk kerajaan, konservatif Melayu yang majoritinya menyokong BN dan Pas pada PRU lalu, masih berharap, suara mereka didengar dan diambil kira.

Pastinya, mereka tidak mahu kedudukan Melayu Islam diabaikan dalam perlantikan jawatan-jawatan strategik yang dekat dengan tanggungjawab utama berkaitan pemeliharaan Perlembagaan.

Konservatif Melayu menjadi lebih panik, apabila 19 kerusi BN di Sarawak kini sudah dibubar. Kewujudan fraksi baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang pro PH akan menjadikan komposisi kerajaan kini makin hampir kepada mejoriti dua pertiga di Parlimen.

Ini menjadikan PH mempunyai cukup undi untuk menggubal perlembagaan di Parlimen. Kekuatan itu menjadi senjata yang kini semakin menggerunkan konservatif Melayu.

Kedudukan dua pertiga undi ini dikaitkan dengan usaha merefomasikan penggubalan undang-undang bagi pemisahan kuasa langsung kawalan kerajaan keatas agensi-agensi strategik.

Namun, wujud kecurigaan sekiranya negosasi politik antara parti-parti berkepentingan mampu melangkui had yang melebihi idea asal itu.

Banyak momokan, namun banyak juga petunjuk realistik.

Persoalan sekarang, dalam keresahan konservatif Melayu ini, apakah kerajaan akan mengambil kira ketakutan itu? – 25 Jun, 2018.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen