BEKAS pegawai khas Najib Razak yang diperintah ditahan reman oleh mahkamah hari ini ialah Amhari Efendi Nazaruddin, kata pegawai anti rasuah.
Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengesahkan kepada The Malaysian Insight nama itu selepas laporan awal hari ini, seorang bekas pegawai kepada bekas perdana menteri ditahan reman tujuh hari.
Individu berusia 42 tahun itu ditahan reman bagi membantu siasatan SPRM berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata laporan awal itu.
Sebelum dibawa ke mahkamah untuk perintah reman hari ini, individu yang disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 itu ditahan di ibu pejabat SPRM lebih kurang jam 9.45 pagi semalam selepas dipanggil untuk dirakamkan kenyataannya.
Amhari jadi tajuk berita tahun lalu selepas Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa syarikat milik beliau menerima RM2 juta daripada Najib, yang dituduh sebahagian daripada dana SRC International Sdn Bhd yang masuk ke akaun bank peribadi bekas perdana menteri itu.
SRC adalah bekas anak syarikat 1MDB yang didakwa digunakan untuk memindahkan dana kerajaan yang kemudiannya masuk ke akaun bank peribadi Najib.
Najib menafikan tahu mengenai duit dari SRC International yang dikatakan masuk ke akaun banknya, sebaliknya mendakwa akaun itu dikendalikan oleh Nik Faisal Ariff Kamil, ketua pegawai eksekutif SRC International.
The Malaysian Insight hari ini melaporkan lebih kurang 1,000 individu dalam siasatan pihak berkuasa kerana didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram terkait menerima wang dari duit 1MDB yang dijumpai dalam akaun bank peribadi Najib.
Amhari sebelum ini pernah dilaporkan terlibat dalam rundingan antara 1MDB dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) di Abu Dhabi, untuk menyelesaikan hutang syarikat pelaburan Malaysia yang bermasalah itu.
Sejak Najib tersingkir dari Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-14, pentadbiran Dr Mahathir Mohamad menggerakkan semula siasatan terhadap skandal 1MDB yang mengakibatkan kerugian berbilion ringgit kepada negara.
Najib sebelum ini memberikan keterangannya kepada SPRM dalam rentas dua hari pada 22 dan 24 Mei, membantu siasatan berhubung SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.
Lebih kurang dua minggu berikutnya, isteri beliau Rosmah Mansor pula dipanggil memberikan keterangan oleh SPRM. – 25 Jun, 2018.
Komen