
ADA dua cara untuk melihat kemenangan tipis Asyraf Wajdi bagi jawatan ketua Pemuda Umno.
Pertama, ia bagus buat Ahmad Zahid Hamidi yang bersaing merebut jawatan presiden dalam pertandingan lima penjuru kerana Asyraf dilihat sebagai wakil bagi pemimpin veteran.
Kedua, cita-cita Khairy Jamaluddin bagai sukar dicapai apabila calon penggantinya, Senator Khairul Azwan Harun tewas, petanda jelas bahawa kem beliau tidak begitu popular seperti yang diharapkan selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.
“Kemenangan tipis Asyraf bermakna perwakilan mahukan seseorang yang bebas dari pengaruh ketua Pemuda Khairy,” kata penganalisis politik Universiti Malaya, Prof Dr Awang Azman Awang Pawi kepada The Malaysian Insight.
Menurut beliau, Asyraf yang berasal dari Kelantan menonjolkan kekuatan Zahid dan Annuar Musa yang akan merebut jawatan timbalan presiden.
Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar pula berkata kekalahan Khairul itu bermakna pengaruh Khairy tidak cukup meluas dalam parti seperti yang disangkanya.
“Satu cara untuk menterjemahkan hasil pemilihan sayap Pemuda ialah mengaitkannya dengan pengalaman. Kalau ini trend pemilihan Umno, maka peluang Zahid agak baik,” kata Tunku Mohar.
Asyraf sebelum ini merupakan pensyarah di UIAM sebelum dilantik sebagai senator pada 2014. Setahun selepas itu, beliau dilantik sebagai timbalan menteri dalam pentadbiran Najib Razak bagi membantu bekas menteri Jamil Khir Baharom dalam hal ehwal Islam.
Pada PRU14 bulan lepas, Asyraf tewas kepada calon PAS, Nik Zawawi Salleh dengan 1,360 undi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Puteh.
Pada 2017, Asyraf mencetus kontroversi apabila beliau mengisytiharkan fahaman atheis di Malaysia tidak berperlembagaan dan melaporkan kepada Parlimen bahawa kerajaan gagal mengarahkan Facebook menutup halaman Atheist Republic.
Walaupun tiada kem rasmi dalam pemilihan Umno kali ini, pemilihan Pemuda boleh dilihat sebagai perang wakil di mana Asyraf dilihat sebagai orang yang disokong Zahid, manakala Senator Khairul Azwan Harun dipercayai sekutu Khairy Jamaluddin, yang juga calon presiden.
Calon ketiga bagi ketua Pemuda, Shahar Abdullah pula dikatakan mendapat sokongan dari bekas presiden, Najib Razak.
Asyraf menewaskan empat lagi calon dengan menerima 65 daripada 191 undi bahagian. Khairul menerima 62 undian manakala Ketua Pemuda Pahang Shahar memperoleh 52. Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal Yunos hanya mendapat dua undi, manakala Wan Agyl gagal mendapat sebarang undi.
Pembantu rapat Khairy, Shahril Hamdan malam tadi berjaya menewaskan Bastien Onn bagi jawatan timbalan ketua Pemuda. Bastien merupakan penasihat kepada calon presiden, Tengku Razaleigh Hamzah.
Ketua Biro Strategi dan Dasar Bersatu Dr Rais Hussin berpendapat keputusan pemilihan Pemuda Umno itu bagus untuk sayap dan parti.
“Kelayakan Asyraf sempurna walaupun beliau tidak zahirkan kebimbangan terhadap tindakan kurang bijak Najib sebelum ini. Tetapi Asyraf dan Timbalan Ketua, Shahril Hamdan merupakan gandingan yang baik,” kata bekas pemimpin Umno itu.
“Mereka berdua mempunyai kekuatan masing-masing serta saling lengkap-melengkapi.”
Tambah Rais, Umno memerlukan idea baharu dan segar andai ia bangkit semula selepas kekalahan pada PRU14. Beliau juga percaya sukar untuk menyatakan calon manakah yang mempunyai kelebihan dalam pertandingan presiden.
“Ini (perubahan) hanya boleh datang dari Khairy dan tidak mustahil ia akan berlaku,” katanya.
Tunku Mohar yang turut senada dengan Rais berkata walaupun ketika ini Zahid dilihat mempunyai kelebihan, macam-macam yang boleh terjadi dalam tempoh seminggu.
“Undi boleh berubah.
“Calon-calon mesti meletakkan diri mereka sebagai orang yang paling layak memimpin parti.” – 25 Jun, 2018.
Komen