PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan pelantikan menteri-menteri kabinet minggu ini, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.
Pengumuman itu akan disusuli pelantikan timbalan-timbalan menteri, tambah Presiden Amanah itu.
Dr Mahathir setakat ini baru mengumumkan 13 menteri dalam barisan Jemaah Menterinya yang beliau sebut sebelum ini tidak akan lebih 30 menteri.
Menurut Mohamad, sehingga semua proses ini selesai, pemimpin Amanah dan lain-lain parti dalam PH sibuk menguruskan proses mengambil alih kerajaan.
Selepas itu, katanya, masa akan ditumpukan pula untuk memenuhi janji dalam 100 hari pertama kerajaan PH.
“Selepas itu insya-Allah semua akan kembali normal dan kita akan bertemu selalu,” katanya kepada kira-kira 1,000 orang yang menghadiri majlis sambutan hari raya Amanah Selangor di perkarangan Stadium Shah Alam, hari ini.
Dr Mahathir minggu lalu dilaporkan sudah menyerahkan 15 lagi nama anggota kabinet untuk melengkapkan barisan Jemaah Menteri sedia ada kepada Yang di-Pertuan Agong, termasuk mereka yang akan dilantik sebagai senator.
Sepuluh hari lepas, The Malaysian Insight melaporkan jangkaan anggota Jemaah Menteri Dr Mahathir beserta portfolio kementerian yang akan mereka terajui.
Antaranya, dua pemimpin Amanah iaitu Mujahid Yusof Rawa yang dijangka akan dilantik sebagai Menteri Luar dan Khalid Samad yang disebut-sebut bakal jadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri memegang hal ehwal agama Islam.
Senarai barisan Jemaah Menteri itu juga dijangka akan disertai tiga ahli parlimen dari Parti Warisan Sabah yang bergabung dengan PH di Semenanjung untuk membentuk kerajaan Persekutuan. Mereka ialah Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking, Ahli Parlimen Batu Sapi VK Liew dan Ahli Parlimen Silam Mohamadin Ketapi.
Mohamadin dijangka akan menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan, yang dihidupkan semula selepas dimansuhkan oleh Najib Razak dalam kabinetnya pada 2009.
The Malaysian Insight juga melaporkan pemimpin Hindraf, P Waytha Moorthy akan diberi tanggungjawab menjaga hal ehwal kaum India, selepas usaha kerasnya memastikan pengundi kaum India memilih PH.– 24 Jun, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Nizam Hasbullah · Ulasan