DEMI mendapatkan hak yang sewajarnya terhadap penduduk Sabah dan Sarawak, pemuda Pakatan Harapan (PH) hari ini mengumumkan tawaran baharu untuk kedua-dua negeri sebagai salah satu manifesto mereka pada pilihan raya umum akan datang.
Ketua DAPSY Kebangsaan Wong Kah Woh berkata Sabah dan Sarawak menjadi mangsa kerajaan Persekutuan sejak berpuluh dekad lalu kerana kedua-dua negeri ini seakan-akan menjadi bahan uji kaji di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Wong berkata Pemuda PH percaya demi mencapai tujuan asal penubuhan Malaysia, Sabah dan Sarawak mesti diberi autonomi yang lebih kukuh dan bermakna berbanding apa yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963.
“Kami komited untuk mencadangkan sebuah tawaran baharu bagi Sabah dan Sarawak yang mengiktiraf status rakan kongsi setara Sabah dan Sarawak di dalam Persekutuan, serta desentralisasi kuasa dan hasil cukai.
“Pindaan terhadap Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak di dalam Persekutuan bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setara dalam Persekutuan Malaysia sesuatu yang tidak boleh dielak,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP hari ini.
Beliau berkata sebagai sebahagian daripada komitmen ke arah mengembalikan status rakan kongsi setara, pemuda PH menawarkan supaya autonomi bagi Sabah dan Sarawak dikembalikan dengan perkongsian 50% hasil cukai yang dikutip daripada kedua-dua negeri itu.
“Kami percaya di bawah rangka kerja Persekutuan yang baru serta pemulihan status rakan kongsi setara, Sabah dan Sarawak akan menikmati pelbagai kuasa autonomi dan diperkasakan dalam sektor pempolisan komuniti, kesihatan, pendidikan dan pengangkutan.
“Lebih banyak peluang pekerjaan boleh diwujudkan. Bukan Sabah dan Sarawak saja mendapat kebebasan, tetapi juga kemampuan untuk membentuk hala tuju masing-masing. Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan harus dikaji semula bagi membolehkan cadangan ini,” katanya.
Katanya, selepas langkah desentralisasi, lebih banyak kuasa kepada negeri, kerajaan di kedua-dua negeri tersebut dengan kedudukan kewangan yang lebih diperkaya akan mampu membangunkan industri mengikut kelebihannya sendiri seperti pertanian, pembuatan dan pelancongan.
“Kita boleh menyasarkan untuk mewujudkan lebih 100,000 peluang pekerjaan untuk anak muda dalam tempoh lima tahun selepas PH mengambil alih kerajaan.
“Kami percaya pimpinan PH mempunyai wawasan dan pandangan yang lebih hebat untuk Sabah dan Sarawak berbanding mereka di BN,” katanya. – 20 Jun, 2017.
Komen