UMNO berdepan jalan sukar untuk melaksanakan perubahan pasca Pilihan Raya Umum ke-14 selepas antara 40% hingga 65% pimpinan di peringkat bahagian menang tanpa bertanding apabila pencalonan pemilihan parti itu ditutup minggu lalu, kata penganalisis politik.
Setiausaha Kerja Umno Ab Rauf Yusoh malam tadi mengumumkan 74 daripada 191 ketua bahagian kekal selepas menang tanpa bertanding manakala 85 ketua Pemuda, 108 ketua Wanita dan 126 ketua Puteri juga tidak dicabar, selepas pencalonan disahkan oleh ibu pejabat Umno.
Keputusan itu menunjukkan bagaimana kuatnya pengaruh pemimpin bahagian ke atas Umno dan bagaimana kurangnya keinginan ahlinya menawarkan diri untuk jawatan utama dalam parti, tambah penganalisis.
Trend yang cenderung memilih status quo itu turut membayangkan bekas perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi bakal selesa untuk menang jawatan presiden pada pemilihan 30 Jun ini, kata Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisomuddin Bakar.
Pemangku presiden Umno itu dicabar dua calon kuat, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah dan Ketua Pemuda Umno yang akan melepaskan jawatan Khairy Jamaluddin, dalam persaingan lima penjuru. Dua lagi calon ialah ahli Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Mohamed Iqbal Maricair dan ahli Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Yusof Musa @ Jamaluddin.
“Secara keseluruhan pun saya rasa tak banyak berlaku perubahan dalam Umno,” kata Hisomuddin kepada The Malaysian Insight.
Beliau turut mengingatkan, Zahid cukup popular dan hanya tiga bahagian tidak menyokongnya semasa pemilihan jawatan naib presiden pada pemilihan 2013.
“Kalau tak berlaku banyak perubahan pada ketua bahagian, saya rasa status quo memihak kepada Zahid (untuk jadi presiden Umno),” katanya.
Zahid kini memangku tugas-tugas presiden parti selepas Najib Razak letak jawatan, tiga hari setelah Barisan Nasional kalah dalam pilihan raya umum pada 9 Mei lalu.

Pensyarah Universiti Malaya (UM), Awang Azman Awang Pawi juga merasakan Umno sukar berubah kerana pemikiran di akar umbinya yang masih konservatif dan taat kepada pemimpin.
“Saya jangka memang ada muka baharu dan 40% muka lama akan kekal. Untuk membuang muka lama agak susah, kerana pertama konsep taat pemimpin begitu kuat dan kedua pemikiran mereka masih konservatif serta hendak beri peluang pemimpin untuk berubah,” katanya.
Beliau juga merasakan Zahid yang mempunyai platform sebagai timbalan perdana menteri sebelum ini lebih menonjol berbanding calon yang lain, merujuk pada tinjauannya dalam kalangan pemimpin Umno bahagian di Sabah.
“Berdasarkan sentimen di Sabah mengenai pemilihan presiden Umno ini, sebahagian besar masih memilih Zahid atas dasar beliau pernah jadi TPM dan naib presiden Umno serta kekerapan beliau ke Sabah.
“Di Sabah, dari 25 perwakilan tidak kurang 18 perwakilan dijangka memihak kepada Zahid, selebihnya Khairy,” katanya.
Sabah, dengan 25 bahagian, adalah antara negeri yang mempunyai blok undi terbesar selain Johor (26), Perak (24) dan Selangor (22).
Dalam pada itu, penganalisis politik Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata hampir 40% ketua bahagian kekal tidak bertanding menunjukkan ketandusan kepimpinan di peringkat bahagian.
“Pada pendapat saya, Umno masih terkejut atas kekalahan baru-baru ini, dan masih belum dapat mempersiapkan barisan pelapis.
“Pertandingan dalam Umno memang ada risikonya, dan ketua-ketua bahagian mempunyai pengaruh dan dana yang memberi mereka kelebihan,” kata pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). – 24 Jun, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Nizam Hasbullah · Ulasan