SENARAI nama ketua bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah akan dimuktamadkan kata, Ketua Menteri Shafie Apdal.
“Berikan kami sedikit masa. Ada sesetengah daripada mereka sudah pun dilantik. Akan ada perubahan. Tunggu sahaja, kami akan umumkan tidak lama lagi.
“Senarainya sudah ada di tangan saya,” katanya kepada pemberita di rumah terbuka Ahli Parlimen Sepanggar Aziz Jamman di Bandar Sierra, dekat Kota Kinabalu, hari ini.
Sabah yang mengikut jejak langkah kerajaan persekutuan Pakatan Harapan, menggugurkan individu yang dilantik secara politik daripada GLC negeri, serta menamatkan lanjutan kontrak pegawai kanan yang telah melepasi had umur persaraan, yang mana perlu.
Ini juga merupakan sebahagian daripada janji pilihan raya Parti Warisan Sabah, dan Shafie sebelum ini berkata beliau mahu melihat golongan muda, berbakat dan profesional menerajui syarikat GLC negeri.
Sabah memiliki 37 GLC, tidak termasuk anak syarikatnya. Kerajaan negeri memiliki 10 kementerian dan 56 agensi.
Terdahulu Shafie mengulangi rancangan kerajaan untuk mendesentralisasi kuasa Jabatan Ketua Menteri dalam meluluskan projek pembangunan.
Beliau berkata, ia akan diambil alih sebuah jawatankuasa, yang akan, antara lain kelulusan projek yang dipendekkan dari enam bulan.
Shafie turut menggesa pemaju untuk mengurangkan harga sewaan purata di kompleks komersil, dalam menyelesaikan masalah lebihan ruang komersil.
“Saya sedar banyak rumah kedai yang masih kosong dan ditutup. Ianya sukar untuk bertahan sekiranya sewa yang dikenakan terlalu tinggi.
“Kita perlu cari jalan untuk selesaikan isu ini, bagi membenarkan rakyat Sabah menyertai perniagaan,” kata Shafie dan menambah kerajaan juga merangka pelepasan cukai jangka pendek untuk menggalakkan usahawan tempatan.– 23 Jun, 2018
Komen