TUNTUTAN saman Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) lebih berunsur politik berbanding undang-undang, kata Rahman Dahlan hari ini, menambah ini hanya beri bahan kepada pembangkang terutama ia tiba di ambang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Saman DoJ itu sangat menindas, dan ia lebih banyak politik berbanding undang-undang,” katanya yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Rahman berkata kes itu tidak dibawa ke mahkamah tetapi DoJ merujuk kepada fakta yang didapati “malang dan dikesali”.
Beliau merujuk kepada isu rantai berlian yang didakwa dibeli dengan wang dicuri daripada syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM27.3 juta.
Dalam saman terbaru difailkan DoJ di Amerika Syarikat pada Khamis lalu, didedahkan rantai itu dibeli ahli perniagaan Low Taek Jho untuk isteri “Malaysian Official No.1 (MO1)”.
Rahman sebelum ini mengesahkan MO1 ialah Perdana Menteri Najib Razak.
“Kenapa DoJ timbulkan isu berlian itu, bila mereka sendiri tidak berminat mendapatkannya untuk siasatan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan adakah tindakan DoJ itu betul untuk mendedahkan butiran terperinci yang “keterlaluan dan penuh sindiran” sedangkan siasatan masih sedang dijalankan.
“Sila ingat yang anda sedang bercakap mengenai negara yang akan menempuh pilihan raya, dan anda tahu kenyataan media seperti ini oleh DoJ akan digunakan sepenuhnya dan disalah guna oleh pembangkang,” katanya.
Beliau berkata rakyat tidak sepatutnya buat kesimpulan dan perlu menunggu sehingga siasatan lengkap sebelum “menyindir”.
DoJ memfailkan tindakan sivil untuk merampas aset bernilai AS$540 juta yang didakwa diperoleh daripada dana 1MDB.
Saman DoJ itu, ketiga sejak tahun lepas, menjadikan jumlah yang didakwa disalahgunakan daripada 1MDB kepada AS$4.5 bilion (RM19.24 bilion).
Saman DOJ terkini itu menyatakan bagaimana Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, membeli rantai leher berlian merah jambu 22 karat menggunakan wang daripada 1MDB untuk isteri “Malaysian Official No. 1” (MO1).
Setakat ini, peguam dan ahli politik berkata mereka terkejut dengan cubaan menteri Barisan Nasional untuk meremehkan dokumen 251 halaman yang dikeluarkan DoJ. – 20 Jun, 2017.
Komen