SHAHRIZAT Abdul Jalil, yang tidak bertanding sebarang jawatan pada pemilihan Umno bermula hari ini, mengumumkan bersara daripada politik untuk memberikan fokus kepada keluarganya.
Bekas menteri Umno itu menjelaskan sudah tiba masanya beliau mengundurkan diri dan memberi peluang kepada muka-muka baharu dalam sayap tulang belakang parti itu.
“Saya serahkan semua jawatan rela hati. Dalam politik kita mesti tahu bila mesti berundur diri. Saya bertuah dan berterima kasih sekian lama diberi sokongan dan menggalas tugas dengan tenang.
“Saya tahu tiada jawatan yang kekal selamanya. Dalam umur saya ini, saya hendak meluangkan masa dengan keluarga,” kata bekas ahli Parlimen Pantai Dalam itu ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Shahrizat, 65, juga berharap pemimpin sayap wanita yang baru akan terus menggalas tugas membela nasib wanita dengan sepenuh hati.
“Saya harap ketua dan pemimpin baru wanita nanti akan memberi fokus masa hadapan dan menjalankan tugas memberi tumpuan kesejahteraan rakyat.
“Saya minta Wanita Umno akan terus jadi tulang belakang dan perpaduan wanita,” katanya lagi.
Shahrizat tidak mempertahankan jawatan ketua Wanita Umno mahupun peringkat bahagian namun kekal bersama parti terbesar Melayu itu.
“Saya akan terus setia bersama Umno dan kekal sebagai ahli Umno,” katanya lagi.
Shahrizat dipilih menjadi ketua Wanita Umno pada 2009 selepas mengalahkan penyandangnya Rafidah Aziz.
Beliau merupakan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam kabinet Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 2001.
Pada PRU 2008, Shahrizat gagal mempertahankan kerusi Parlimen Lembah Pantai, kalah kepada muka baharu Nurul Izzah Anwar.
Beliau kemudian dilantik sebagai penasihat kerajaan dalam hal ehwal wanita dan pembangunan masyarakat dalam kabinet Abdullah. Selepas Najib Razak mengambil alih sebagai perdana menteri pada 2009, Shahrizat dilantik sebagai senator dan kemudian dinamakan semula sebagai menteri Kabinet.
Bagaimanapun selepas tiga tahun menjadi senator, Shahrizat mengundurkan diri pada 2012 setelah terpalit dengan skandal National Feedlot Corporation (NFC), syarikat yang ada kaitan dengan keluarganya. – 23 Jun, 2018.
Komen