Kerajaan perlu pelan jangka panjang sebelum larang tukang masak asing


Noel Achariam Nabihah Hamid

Menurut pengusaha restoran, rakyat tempatan tidak mahu bekerja sebagai tukang masak kerana ramai yang enggan bekerja pada hujung minggu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Jun, 2018.

PENGUSAHA restoran lega apabila dimaklumkan bahawa larangan mengambil tukang masak asing masih di peringkat cadangan, namun mereka mahu Putrajaya membangunkan pelan jangka panjang mengenai isu-isu tenaga kerja dalam industri makanan sebelum melaksanakan dasar.

Kenyataan yang dibuat Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran semalam tidak diterima baik oleh pengusaha restoran yang bergantung kepada tukang masak asing. Kulasegaran kemudian menjelaskan yang ia masih di peringkat cadangan kerana memerlukan perbincangan dengan semua pihak berkaitan.

Pemilik restoran Pampas, Kana Theva mendakwa 80% restoran di Malaysia akan bungkus jika kerajaan meneruskan larangan pengambilan tukang masak asing mulai 1 Januari depan.

“(Kementerian) mesti turun padang dan faham apa yang sedang berlaku. Kita bukannya tak mahu upah pekerja tempatan,” Kana memberitahu The Malaysian Insight.

“Kalau saya iklankan untuk cari tukang masak tempatan, tak ada siapa yang akan jawab. Bukannya kami tak beri peluang kepada orang tempatan.

“Kementerian perlu ada pelan konkrit, macam wujudkan lebih banyak sekolah masakan untuk latih orang tempatan,” katanya.

Pemilik Warisan Anggoi, Nur Salhah Amirusin berkata rakyat tempatan tidak mahu bekerja sebagai tukang masak kerana ramai yang enggan bekerja pada hujung minggu.

“Itulah kita tengah berfikir. Sebab susah nak cari orang tempatan. Banyak komitmen, Sabtu dan Ahad taknak kerja. 

“Kelebihan warga asing, mereka rajin dan tahan lasak dan sanggup kerja lebih masa. Jika kuatkuasa tukang masak tempat mesti akan ganggu operasi kedai. 

“Saya lebih 10 tahun meniaga, dulu masak sendiri sekarang bila bisnes makin maju kita gajikan orang. 

“Kita pernah bagi peluang orang kita. Tapi susah nak betul-betul komited. Sebab ada yang nak cuti. Kalau orang asing mereka datang sini memang untuk kerja,” katanya.

Begitu juga pemilik restoran Miker Food di Ipoh, Amzari Zamri yang berkata sukar untuk mencari pekerja yang komited dengan kerja.

“Tukang masak saya semua warga tempatan dan sebenarnya ikut nasib juga hendak dapat pekerja yang baik,” katanya.

Hartini Abd Ghani, yang memiliki restoran Tini’s Cafe juga berkata sukar untuk mendapatkan rakyat tempatan yang mahu bekerja sebagai tukang masak.

“Tukang masak saya semuanya warga asing. Saya pernah cari tukang masak tempatan, tapi mana orang nak kerja?

“Kalau laksana begini, saya rasa kena tutup kedai sebab susah cari tukang masak. Kenalah adil, hotel pun bukan semua tempatan ada juga warga asing. 

“Orang asing datang sini untuk kerja. Macam orang kita ini banyak main-main. Manja. Bagaimana nak selesaikan masalah itu? 

“Kerajaan perlu fikir cara lain dan adil.” – 23 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen