PENGASAS Invoke Rafizi Ramli menggesa pengundi di kubu kuat Pakatan Harapan (PH) agar tidak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tetapi sebaliknya membantu sebagai ejen tempat undi dan ejen mengira undi (PACA).
Rafizi berkata sukarelawan yang bersetuju untuk menjadi PACA akan dihantar bertugas di luar kawasan yang kekurangan petugas.
“Saya menggalakkan anda membuat keputusan untuk tidak mengundi dalam PRU akan datang dan sebaliknya menjadi PACA untuk bertugas di luar kawasan; iaitu di kerusi marginal di kawasan separa bandar/luar bandar yang tidak cukup petugas,” katanya yang juga naib presiden PKR pada sidang media di Ibu Pejabat Invoke di Kuala Lumpur hari ini.
“Invoke akan memadankan anda dengan kerusi marginal yang paling dekat dengan anda.”
Rafizi berkata kerusi yang PH menang dengan majoriti besar dimaksudkannya ialah kerusi Parlimen seperti Pandan, Kelana Jaya, Petaling Jaya Selatan, Petaling Jaya Utara, Segambut, Kepong, Seputeh, Cheras, Jelutong dan Bagan.
“Ini semua yang kita menang 20,000, 30,000 dan 40,000. Kita keluar mengundi macam mana pun, Barisan Nasional (BN) sudah give up di kerusi ini. Dia tak akan kacau dah kawasan ini.
“Dan kalau pun dia tambah dua pengundi hantu, masih lagi tidak boleh mengalahkan PH di kerusi kubu ini,” kata ahli Parlimen Pandan itu.
Sehubungan itu, katanya lebih baik pengundi di kubu kuat PH tidak mengundi pada PRU14 dan mendaftar sebagai PACA.
“Mula awal supaya kami boleh padankan saudara saudari di kawasan marginal bermula sekarang.
“Kalau kita boleh dapatkan 500 orang dari setiap 15 kerusi hardcore Pakatan tak akan kalah, kita akan dapat kira-kira 6,000 sukarelawan,” katanya.
Rafizi turut melahirkan rasa kecewa kerana setakat ini Invoke hanya berjaya melatih 978 orang dalam tempoh enam bulan lalu sedangkan mereka memerlukan 20,000 sukarelawan.
Beliau turut menyelar golongan kelas menengah bandar yang selama ini hanya tahu merungut supaya mendaftar sebagai PACA agar dapat membantu mengurangkan penipuan pilihan raya.
“Mempersoalkan penipuan tanpa berbuat sesuatu, itulah yang mengekalkan Umno dan BN sebagai kerajaan dalam tempoh 60 tahun ini,” katanya.
Pada sidang media sama, Rafizi turut melancarkan buku “Panduan Ejen Tempat Mengundi Ejen Mengira Undi (PACA) terbitan Invoke yang akan dijual secara atas talian dan di kedai buku di seluruh negara. – 20 Jun, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Ali Along · Ulasan