MUNGKIN akan ada debat secara langsung antara tiga calon presiden Umno pada 29 Jun ini selepas Ahmad Zahid Hamidi tanpa sengaja diheret untuk bersetuju dalam temu bual langsung di Astro Awani malam ini.
Di akhir rancangan temu bual selama 30 minit itu, pembaca berita Kamarul Bahrin Harun bertanya kepada Zahid sama ada beliau bersetuju untuk menyertai debat antara Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin.
“Saya ingin mengimbau pendapat Ketua Penerangan Umno Annuar Malaysia yang menyatakan bahawa perdebatan tidak diperlukan.
“Kerana ini soal keluarga, soal dalam rumah tangga. Perdebatan di antara ahli keluarga tidak perlu di bawak ke halaman, apatah lagi di tepi jalan, di mana mereka akan melihat bahawa kita ada permasalahan,” kata Zahid dalam rancangan temu bual tersebut.
“Tetapi jika niat bukan untuk meraikan perbezaan pendapat yang menyebabkan Umno terpecah kepada tiga atau sekurang-kurangnya dua, saya sanggup untuk bersiaran dari Bagan Datuk,” tambah Zahid.
Zahid berkata beliau perlu berada bersama perwakilan di kawasannya sehari sebelum pemilihan.
Jawapan Zahid itu menyebabkan Kamarul terus bangun dan menjabat tangannya serta berkata akan menerima syarat itu bagi pihak Astro Awani.
“Kami tidak berniat untuk memecahkan, ini paksi ilmu, itu janji kami kepada masyarakat Malaysia dan InsyaAllah kita akan saksikan dua tetamu calon presiden dalam studio dan seorang calon akan berada di Bagan Datuk,” kata Kamarul sebelum mengakhiri siaran. – 22 Jun, 2018.
Komen