Nor Shamsiah gabenor BNM baharu


Kamles Kumar

Pelantikan Nor Sahmsiah (empat dari kanan) disahkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini. Beliau akan mula berkhidmat pada 1 Julai hingga 30 Jun 2023. – Gambar The Malaysian Insight, 22 Jun, 2018.

MENTERI Kewangan Lim Guan Eng hari ini mengumumkan Nor Shamsiah Mohd Yunos dilantik sebagai gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) baharu.

Lim mengesahkan pelantikan Nor Shamsiah itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 19 Jun.

Nor Shamsiah akan mula berkhidmat pada 1 Julai ini hingga 30 Jun 2023, kata Lim pada sidang akhbar di Kementerian Kewangan hari ini.

“Perdana menteri mengemukakan cadangannya kepada Agong pada 18 Jun supaya Nor Shamsiah dilantik sebagai gabenor BNM bagi tempoh lima tahun,” kata Lim.

Nor Shamsiah yang hadir pada pengumuman tersebut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas pelantikan beliau dan berjanji akan menjalankan tugas dengan bersunguh-gungguh.

“Saya akan berusaha menjalankan tanggungjawab sebagai gabenor Bank Negara Malaysia sebaik mungkin bersama-sama pasukan yang sedia ada dalam Bank Negara,” katanya.

Bekas timbalan gabenor itu berkata beliau hanya akan mengetahui tugas sebenar apabila menyertai bank pusta itu pada 1 Julai selepas dua tahun mengundur diri.

“Hampir dua tahun saya berehat dan terlalu untuk saya menyatakan apakah yang menjadi keutamaan. Saya perlu kembali dan mulakan tugas pada Julai dan berbincang dengan pegawai mengenai situasi sekarang ini serta apakah yang bakal jadi keutamaan untuk bergerak ke depan,” kata Nor Shamsiah.

Terdahulu hari ini, Bloomberg memetik kenyataan seorang jurucakap Dr Mahathir Mohamad yang mengesahkan pelantikan Nor Shamsiah selepas namanya mendapat perkenan Agong.

Nor Shamsiah sebelum ini terlibat dalam siasatan skandal dana negara sarat hutang 1MDB ketika menjadi timbalan gabenor Bank Negara Malaysia. Beliau memegang jawatan itu selama enam tahun sebelum berundur pada November 2016.

Beliau berkhidmat selama 30 tahun dengan BNM, terlibat dalam perancangan dasar tadbir urus kewangan, menyelia sektor perbankan, syarikat insuran dan takaful, risikan dan penguatkuasaan kewangan dan pengurusan bakat sumber manusia.

Awal bulan ini, Dr Mahathir mengumumkan bekas gabenor, Muhammad Ibrahim meletak jawatan ekoran beberapa dakwaan bahawa BNM terlebih bayar kerajaan terdahulu pimpinan bekas perdana menteri Najib Razak untuk sebidang tanah di Kuala Lumpur. – 22 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen