Pelantikan Nor Shamsiah akan tingkatkan keyakinan pelabur, kata Azmin


Kamles Kumar

Nor Shamsiah Mohd Yunos berpengalaman luas dalam BNM dan saya yakin akan jadi gabenor yang baik bantu kerajaan atasi krisis kewangan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2018.

PELANTIKAN Nor Shamsiah Mohd Yunus sebagai gabenor baru Bank Negara Malaysia (BNM) akan meningkatkan keyakinan pelabur kepada Malaysia, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.

“Keyakinan yang gabenor baru akan mampu menjalankan tugasnya secara berkesan. Beliau ada pengalaman luas dengan BNM sebelum ini.

“Saya yakin beliau akan jadi gabenor yang baik membantu kerajaan mengatasi krisis kewangan,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di Masjid Putrajaya hari ini.

Azmin berkata Nor Shamsiah yang pernah jadi ahli pasukan siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di bawah bekas gabenor, Zeti Akhtar Aziz dan mempunyai pengetahuan mendalam mengenai perkara itu.

“Pastinya beliau sedar sepenuhnya situasi sekarang. Saya rasa kita perlu beri peluang kepadanya untuk balik jadi gabenor baru bank pusat dan biar beliau nilai perkara itu sepenuhnya,” kata ahli Parlimen Gombak itu.

Awal hari ini, Bloomberg melaporkan kenyataan jurucakap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mengesahkan pelantikan Nor Shamsiah selepas mendapat perkenan Yang Di Pertuan Agong.

Jawatan terakhir Nor Shamsiah sebelum meninggalkan BNM pada November 2016 adalah timbalan gabenor dan terlibat dalam siasatan bank pusat itu ke atas dana pelaburan negara sarat hutang 1MDB.

Beliau dijangka mengadakan sidang akhbar dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng petang ini. – 22 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen