Saat Umno tersungkur, pemilihan jadi talian hayat


Chan Kok Leong

Pemilihan parti Melayu itu yang bermula esok akan menentukan kelangsungan nyawanya, terutama tumpuan seluruh negara akan diberikan kepada siapakah yang akan dipilih lebih 100,000 perwakilan untuk menerajui mereka selepas kalah teruk pada PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2018.

KEKALAHAN memalukan Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu membuka jalan kepada pembaharuan kepimpinan yang boleh dilakukan menerusi pemilihan parti minggu depan, apabila lebih 100,000 perwakilan akan memilih presiden dan timbalan presiden baharu mereka.

Perlembagaan Parti yang dipinda pada 2010 untuk membenarkan semua jawatan dipertandingkan, tetapi pengecualian dibenarkan untuk dua jawatan tertinggi parti pada pemilihan 2013 yang menyaksikan Najib Razak dan Muhyiddin Yasin ketika itu masing-masing presiden dan timbalan presiden menang tanpa dicabar.

Bagaimanapun, pada pemilihan kali ini, lima calon akan merebut jawatan presiden, dua untuk timbalan presiden dan tujuh calon yang merebut tiga kerusi naib presiden. Pertandingan kerusi ahli Majlis Tertinggi pula menyaksikan 106 calon bertanding merebut 25 kerusi.

Kaedah pemilihan Umno

Selain undi secara terus, Umno juga mengguna pakai sistem undi bahagian di mana pemenang ditentukan dengan jumlah bahagian dimenangi mereka.

Jumlah bahagian yang dimenangi akan menentukan pemenang dan sekiranya keputusan seri dicapai dua calon bertanding, pemenang akan ditentukan daripada jumlah undi yang dimenangi.

Pada pemilihan presiden 2013, pemangku presiden dan bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi menang 188 bahagian. Dua lagi naib presiden iaitu Mohd Shafie Apdal menang 177 bahagian manakala Hishammuddin Hussein raih 101 bahagian.

Bermula esok, perwakilan parti daripada semua bahagian Umno akan memilih ketua bahagian, ketua Pemuda, ketua Wanita dan ketua Puteri.

Bagi pemilihan ketua sayap, setiap cawangan akan menghantar lima perwakilan kepada bahagian untuk mengundi.

Lima perwakilan itu adalah ketua cawangan, timbalan ketua cawangan dan tiga perwakilan cawangan.

Untuk jawatan tertinggi, peraturan sedikit berbeza kerana setiap bahagian secara automatik akan diwakili ketua bahagian, ketua Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian masing-masing. Perwakilan tambahan bergantung kepada jumlah ahli bahagian kerana setiap perwakilan boleh dipilih untuk mewakili 50 ahli bahagian.

Pemilihan parti Melayu itu akan menarik tumpuan negara, tetapi fokus utama tentunya kepada pertembungan untuk jawatan tertinggi pada 30 Jun nanti yang menyaksikan pertempuran tiga calon pilihan- Zahid, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin. – 22 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen