MENTERI dan timbalan menteri tidak lagi dibenarkan untuk memberi surat sokongan bagi kelulusan projek atau tender, kata Menteri Pendidikan Maszlee Malik.
Beliau berkata Kabinet memutuskan demikian untuk memastikan tadbir urus yang baik dalam kerajaan.
“Menteri dan timbalan menteri tidak dibenarkan untuk buat surat sokongan dan mana-mana tender serta proposal demi melaksanakan urus tadbir baik amalan yang banyak berlaku pada kerajaan lepas,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Bagaimanapun katanya, terdapat pengecualian dalam pengeluaran surat sokongan dalam hal yang tidak melibatkan implikasi kewangan.
“Tapi surat sokongan untuk kementerian yang tak melibatkan implikasi kewangan kita tak berapa galak kecuali isu tersebut yang mendesak dan terdesak.
“Contoh seperti isu melibatkan kesihatan selalunya memang ahli Parlimen dan ADUN merasakan itu tanggungjawab mereka kerana mereka lebih mengenali kawasan mereka atau pengundi,” katanya.
Sebelum ini ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata amalan pemberian surat sokongan atau surat kuning patut dihentikan kerana ia mengundang dilema kepada ketua-ketua jabatan.
Katanya, budaya surat sokongan itu meletakkan ketua jabatan dalam dilema untuk membuat keputusan.
Beliau dalam wawancara khas dengan Sinar Harian berkata surat sokongan itu sebenarnya tidak ada sebarang kuasa untuk memaksa pelaksana untuk mendengar atau mempengaruhi tetapi ia lebih kepada “tekanan” dalaman. – 21 Jun, 2018.
Komen