IPTA tidak perlu laksana sistem iCGPA, kata menteri


Diyana Ibrahim

Menteri Pendidikan Maszlee Malik IPTA kini mempunyai pilihan sama ada ingin melaksanakan program Purata Nilai Gred Kumulatif Bersepadu (iCPGA) atau tidak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2018.

INSTITUSI Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kini mempunyai pilihan sama ada ingin melaksanakan program Purata Nilai Gred Kumulatif Bersepadu (iCPGA) atau pun tidak, kata Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

Ini memandangkan, pelaksanaan sistem pelaporan itu didapati menyebabkan pensyarah tidak lagi menumpukan kepada tugas hakiki.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan maklum balas yang diterima daripada sesi perkongsian dan kajian semula mengenai sistem iCPGA bersama kakitangan akademik dan pelajar.

“Berdasarkan maklum balas dan perkongsian pendapat bersama di sesi tersebut adalah didapati bahawa sejak iCPGA dilaksanakan tumpuan pensyarah beralih iaitu mengajar atau menjalankan kajian, menulis, menyelia pasca siswazah dan berkhidmat kepada masyarakat.

“Saya berharap keputusan ini akan memberi ruang kepada para pensyarah untuk kembali menumpukan usaha kepada peranan dan tugas hakiki mereka demi mengangkat martabat Universiti Awam sebagai medan intelektual tersohor,” katanya pada sidang media hari ini.

Program iCPGA dilancarkan pada 2015 merupakan sebahagian daripada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Ia antara lain dirangka untuk menghasilkan “graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang”. – 21 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen