KERAJAAN negeri Pulau Pinang tidak ada rancangan untuk menaikkan harga siling bagi perumahan kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik, kata exco perumahan negeri Jagdeep Singh Deo.
“Negara ini sedang dalam langkah berjimat. Masih ramai rakyat tidak mampu memiliki rumah pada harga tinggi.
“Kami tidak akan naikkan harga. Sudah banyak kali pemaju minta disemak semula, tetapi kerajaan negeri pada masa ini tidak bercadang menaikkan harga,” katanya pada sidang akhbar di Kampung Kastam, Gelugor.
Pulau Pinang memperkenalkan harga siling untuk tiga kategori perumahan dalam bajet negeri 2014 bagi menangani risiko kenaikan harga hartanah, dan untuk memastikan rumah kekal mampu milik bagi pembeli tulen iaitu pembeli rumah kali pertama, bukannya spekulator hartanah.
Rumah kos rendah di Pulau Pinang berharga RM42,000 dan kos sederhana RM72,500, sementara harga siling bagi perumahan mampu milik ialah RM400,000 di bahagian pulau dan RM250,000 di tanah besar.
Pembeli unit perumahan itu perlu memohon kepada jabatan perumahan negeri dan disemak mengikut syarat kelayakan.
Jagdeep berkata projek perumahan “bekas PR1MA” yang pertama di negeri itu akan bermula lewat tahun ini di Kampung Kastam, di kawasan seluas 8 ekar di Gelugor yang digunakan sebagai kuarters untuk kakitangan kastam.
Projek itu sebelum ini perlu dibina oleh Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di bawah pentadbiran bekas kerajaan Barisan Nasional (BN), tetapi ia tertangguh selama beberapa tahun.
Walaupun beberapa projek diumumkan oleh kerajaan BN, PR1MA tidak pernah menyiapkan sebuah rumah pun di negeri pentadbiran Pakatan Harapan (PH) itu sejak 2012.
Selain dua projek di Kampung Kastam, PR1MA dilaporkan turut mempunyai satu lagi projek di Batu Ferringhi, dan satu lagi di bahagian tanah besar. Tiga projek di bahagian pulau itu sepatutnya disiapkan untuk membina 3,071 unit rumah.
Jagdeep berkata kerajaan negeri akan cuba untuk mempercepatkan projek perumahan di Kampung Kastam yang kini diambil alih syarikat pemaju swasta Ideal Property Group (Ideal).
Pengerusi Eksekutif Ideal, Alex Ooi berkata fasa pertama projek itu akan bermula akhir tahun ini.
“Sebanyak 905 rumah mampu milik akan dibina dan 257 kos sederhana. Kami menjangkakan projek itu siap pada 2021.
“Projek itu akan dilengkapi kemudahan seperti gelanggang futsal, surau, bilik mesyuarat dan dewan orang ramai,” kata Ooi.
Jagdeep berkata Ideal akan menyiapkan projek itu mengikut syarat dan spesifikasi ditetapkan kerajaan negeri, termasuk harga siling dan saiz unit – tidak boleh lebih kecil daripada 850 kaki persegi bagi rumah mampu milik dan 650 kaki persegi untuk rumah kos sederhana.
Katanya, beliau juga ada mencadangkan supaya projek dikenali di bawah PR1MA di Pulau Pinang ditukar kepada “Perumahan Harapan Malaysia”. – 20 Jun, 2018.
Komen