Akta anti berita palsu hanya untuk lindungi Najib, kata Kit Siang


Asila Jalil

Veteran DAP Lim Kit Siang berkata undang-undang anti berita palsu diluluskan sebelum ini hanya untuk menginstitusikan dan memastikan skandal 1MDB tidak terbongkar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 20 Jun, 2018.

UNDANG-UNDANG Anti Berita Palsu yang diluluskan di Parlimen tahun ini patut dimansuhkan kerana ia bertujuan untuk melindungi bekas perdana menteri Najib Razak dan menghalang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didedahkan, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

“Saya sangat setuju yang kita patut mansuhkan undang-undang itu kerana ia bukannya bertujuan untuk membendung berita palsu,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Parlimen Segambut, Kuala Lumpur hari ini.

“Ia bertujuan untuk menginstitusikan dan memastikan skandal 1MDB Najib tidak terbongkar. 1MDB bukan berita palsu,” katanya.

Najib kini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung bagaimana RM42 juta dari SRC International, bekas anak syarikat 1MDB boleh masuk ke akaun peribadi bank Najib.

Lim berkata media menjadi mangsa akta itu, kerana ia menghalang mereka daripada melaporkan tentang 1MDB.

“Kita patut mansuhkan undang-undang berita palsu sedia ada dan melihat keseluruhan persoalan tentang berita palsu dan penipuan di media dan bagaimana cara terbaik untuk rakyat menangani masalah itu,” katanya yang juga ahli Parlimen Iskandar Puteri.

Semalam, Lim berkata undang-undang anti berita palsu itu perlu digantikan dengan undang-undang baharu yang boleh melindungi masyarakat awam daripada berita palsu, dan ia direka oleh media dan masyarakat.

“Ada keperluan untuk membanteras berita palsu kerana ada banyak maklumat palsu di media sosial dan media cetak,” katanya. – 20 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen