Kementerian khusus untuk reformasi institusi, industri diperlukan


Sheridan Mahavera

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sedang melakukan rombakan dan reformasi institusi dan industri selepas menang PRU14. Tetapi, usaha perubahan birokrasi mengambil masa lama, dan sebuah kementerian khusus perlu diwujudkan untuk menguruskannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2018.

SEBUAH kementerian khusus untuk reformasi pentadbiran dan dasar bagi meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah wajar menjadi keutamaan kerajaan Pakatan Harapan yang dijangka mengumumkan senarai penuh Kabinet tidak lama lagi, kata penganalisis.

Pelan jangka pendeknya termasuklah yang melibatkan perubahan perbelanjaan kerajaan, mengatasi diskriminasi dalam pasaran kerja dan perniagaan serta menghapuskan undang-undang yang mengekang hak bersuara.

Pembentukan jawatankuasa Parlimen untuk memantau semua kementerian dan pemisahan peranan pendakwa raya awam daripada peguam negara juga penting. Langkah ini akan membolehkan tindakan kerajaan dipantau dengan baik dan memastikan tiada seorang pun berada lebih tinggi daripada undang-undang termasuklah perdana menteri.

Langkah ini juga adalah permulaan yang baik untuk membina dan mengukuhkan kembali institusi dan industri negara bagi menjunjung kedaulatan undang-undang dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif, kata mereka.

PH dipilih kerana janji yang mereka akan membuka ruang demokratik, mengurangkan kos sara hidup, mempromosi pertumbuhan ekonomi yang adil dan inklusif dan serta mengembalikan hak Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Masalah dengan reformasi birokratik adalah kerajaan hanya akan melihat hasilnya dalam tempoh dua atau tiga penggal”, kata pakar sains politik, Dr Faisal S Hazis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Satu cara usaha itu dipandang serius dan dilaksanakan di seluruh perkhidmatan awam adalah dengan membentuk sebuah kementerian khas untuknya.”

Ini adalah pendekatan diambil Indonesia selepas rakyat negara itu menyingkirkan pemerintahan diktator Jeneral Soharto pada 1998, kata Faisal.

Negara itu menyedari yang ia memerlukan kementerian khas bagi memastikan usaha membina kembali negara dan menghapuskan kroni-kapitalisme dalam ekonominya dapat dilaksanakan dengan meluas.

Menerusi kementerian itu juga, rancangan lain seperti menghapuskan pengaruh politik dalam perkhidmatan awam, menampal ketirisan perbelanjaan kerajaan dan menghapuskan korupsi boleh dilaksanakan dengan berkesan, katanya.

“Sekarang, kita ada Majlis Penasihat Kerajaan yang menyelia perubahan, tetapi mereka tidak dipilih rakyat dan hanya berkhidmat untuk 100 hari sahaja,” kata Faisal.

“Perubahan perlu diselia oleh seorang menteri yang juga wakil dipilih rakyat.”

Majlis Penasihat Kerajaan yang dipengerusikan Daim Zainuddin ahlinya bukan wakil rakyat dan hanya mempunyai 100 hari sahaja. Bagi memastikan reformasi institusi dan industri dijalankan dengan berkesan, sebuah kementerian dengan menteri perlu diwujudkan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2018.

Kerajaan PH yang baharu dijangka mengumumkan 15 lagi menteri minggu ini bagi melengkapkan Kabinet mereka sebelum persidangan Dewan Rakyat pertama pada pertengahan Julai.

Dr Wong Chin Huat dari Penang Institute pula berkata undang-undang seperti Akta Anti Berita Tidak Benar 2018 perlu dibubar bagi membolehkan rakyat bebas mengkritik kerajaan.

Pemisahan Pejabat Pendakwaraya Awam juga perlu dipisahkan daripada Jabatan Peguam Negara supaya tidak lag berlaku pendakwaan terpilih, kata Wong lagi.

Selain Jawatankuasa Parlimen untuk setiap kementerian, Speaker Dewan Rakyat juga perlulah seorang ahli Parlimen kanan yang boleh bertindak mengatasi sentimen parti dan seterusnya tidak berat sebelah.

“Akhir sekali, sebuah Suruhanjaya Diraja untuk mengkaji dan memberi cadangan perubahan bukan hanya untuk proses pilihan raya (daftar pemilih, kempen, pentadbiran) tetapi yang paling mustahak adalah sistem pilihan raya,” katanya.

“Ini bagi menentukan apakah jenis sistem parti dan model demokrasi yang kita perlu ada.”

Membentuk pertumbuhan inklusif

Dalam sektor ekonomi pula, pasaran saham negara sekarang sedang menanggung kesannya. Pelabur asing meninggalkan Malaysia selepas kerajaan mengumumkan hutang sebenar negara, wujud juga kebimbangan yang perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat akan memberi kesan kepada eksport negara.

“Kerajaan perlu beri jaminan yang menyakinkan kepada pelabur yang asas negara boleh bertahan dengan kejutan luar,” kata ahli ekonomi Dr Lee Heng Guie dari Pusat Kajian Sosio-Ekonomi (SERC).

“Kerajaan juga perlu memberikan hala tuju ekonomi yang lebih jelas dan pasti bagi menangani kebimbangan pelabur,” katanya. 

Tetapi Lee menambah yang kerajaan perlu meneruskan proses perubahan yang sedang berjalan dan mengekang perbelanjaan kerajaan bagi mengurngkan hutang negara yang kini dianggar cecah RM1 trilion.

“Kecekapan dalam penggunaan dana awam perlu ditingkatkan, ketirisan perlu ditampal, korupsi dihapuskan dan penaungan serta pengayaan sendiri yang kronik perlu dikekang.”

Rakyat memilih Pakatan Harapan jadi kerajaan kerana janji ekonomi mereka, makan pentadbiran sekarang perlu berusaha cari jalan membentuk penglibatan ekonomi yang inklusif, hapuskan diskriminasi kaum dalam industri dan gaji yang lebih setara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2018.

Selain tanggungjawab fiskal, pentadbiran juga perlu memberi perhatian kepada dua kumpulan utama yang mempengaruhi kejayaan PH jadi kerajaan- golongan berpendapatan rendah dan golongan muda yang sedang cari kerja.

“Kedua kumpulan ini mengundi PH kerana janji membantu mereka dengan kos sara hidup dan isu ekonomi yang lain,” kata penganalisis Ooi Heng dari Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU).

“Akses yang lebih baik untuk pendidikan, pengangkutan dan kesihatan awam akan menurunkan kos sara hidup kumpulan B40, selain pekerjaan dengan gaji yang lebih baik.”

Pentadbiran sekarang juga perlu berusaha menghentikan diskriminasi kepada orang Melayu dan bukan Melayu dalam pengambilan kerja sektor awam dan swasta.

“Bagi Melayu dan Bumiputera mereka berdepan diskriminasi ketika memohon kerja dalam sektor swasta manakana bukan Melayu bimbang mereka tak dapat masuk kerja kerajaan atau dapat lesen kerajaan.

“Ini perlu dihentikan kerana ia membataskan pilihan kepada orang muda untuk mendapatkan kerja dengan gaji yang baik dan tak bagus untuk keharmonian sosial.

“Menghapuskan diskriminasi menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi untuk orang Melayu dan bukan Melayu.” – 20 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen