Peguam negara terima petunjuk baru kes bunuh Altantuya


Noel Achariam

Ramkarpal Singh berkata Peguam Negara Tommy Thomas akan melihat semua petunjuk sebelum membuat keputusan untuk membuka semula siasatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 Jun, 2018.

KES pembunuhan Altantuya Shaariibuu akan dipercepatkan oleh Jabatan Peguam Negara selepas petunjuk baru dikemukakan hari ini, kata Ramkarpal Singh.

Beliau berkata Peguam Negara Tommy Thomas akan melihat semua petunjuk sebelum membuat keputusan untuk membuka semula siasatan.

“Kami sudah membentangkan petunjuk baru dan lama untuk memulakan siasatan. Saya tidak dapat memberitahu secara tepat mengenai petunjuk baru ini.

“Kemungkinan besar ia akan dibuka dan tidak akan ditangguhkan lebih lama lagi,” katanya selepas menghadiri mesyuarat di Jabatan Peguam Negara, hari ini.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah ayah Altantuya Setev Shaariibuu yang tiba di Malaysia pada minggu lepas.

Setev juga meminta peguam negara agar membuka semula kes pembunuhan anaknya itu.

Altantuya, 28, dipercayai ditembak mati, sebelum tubuhnya diletupkan di sebuah hutan di Puncak Alam, Shah Alam, pada 2006. 

Ramkarpal berkata beliau yakin suspek pembunuhan Altantuya akan disiasat.

“Sebagai seorang peguam negara yang baru, beliau berkata beliau perlu mengkaji semua fail jenayah dan sivil.

“Dia tahu apa yang berlaku, dia juga tahu latar belakang isu itu. Sudah tentu kami ada memberikan sedikit maklumat (mengenai kes Altantuya).

“Mesej utama yang kami terima dari peguam negara adalah ia (pembukaan semula kes itu) tidak akan ditangguhkan lebih lama lagi.”

Ketika ditanya bilakah kes itu akan dibuka semula, Ramkarpal berkata, peguam negara tidak memberikan sebarang rangka masa.

“Bilakah kes itu akan dibuka tidak dibincangkan, tetapi beliau bersetuju yang petunjuk baru boleh menjadi asas untuk siasatan.”

Setev berkata mesej yang disampaikannya kepada peguam negara dan akan turut disampaikan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohammad esok adalah beliau mahu melihat keadilan ditegakkan.

“Tiada seorang pun boleh mengatasi undang-undang, saya mahu minta perdana menteri menyelesaikan masalah ini.”

Mayat Altantuya dipercayai diletupkan menggunakan bahan letupan C4.

Dua anggota polis - Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri - bekas pengawal peribadi Najib Razak, didapati bersalah dan dihukum mati pada 2015.

Azilah sedang meringkuk di Penjara Kajang, manakala Sirul ditahan di pusat tahanan imigresen Australia selepas melarikan diri ke negara itu sebelum disabit bersalah.

Sirul baru-baru ini ditawarkan untuk memberi keterangan sebagai pertukaran untuk pengampunan, tetapi tawaran itu tidak dipersetujui Ramkarpal, yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor dari DAP.

Deportasi Sirul boleh disekat oleh halangan undang-undang, kerana Australia tidak akan mengekstradisi sesiapa yang menghadapi risiko hukuman mati, lapor agensi berita Australia SBS baru-baru ini. – 19 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen